Saturday 18 December 2010

Persolan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris & Undang DS dan BN

www.khalidsamad.com


Saturday, January 10, 2009 

Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris 


Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’. Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.


Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.


Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.


Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!


Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.


Saya menyatakan 'wakil rakyat' di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN! Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.


Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.


Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, "kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel".


Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT. Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.

Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya jawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.


Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
WalLahu ‘Alam

NOTA PENTING: Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!

Posted by Khalid Samad at 3:26 AM Labels: Islam, Selangor, Shah Alam




-----------------------------------------------------------------------------



www.khalidsamad.com
Monday, January 12, 2009

Undang-Undang DS atau BN


Undang-undang Double Standard atau Barisan Nasional - Candle Light Vigil di Kuala Lumpur vs 'Silat' Pewaris di Shah Alam. Kita sebenarnya sudah naik jemu dengan telatah/perangai BN yang mengamalkan dasar double standard. Rakyat pun begitu. Ini adalah di antara sebab BN mengalami prestasi yang teruk pada PRU ke 12 Mac lalu. Namun, BN masih tidak (mahu) faham.

Semalam, sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan ‘candle-light vigil’ di dataran Merdeka Kuala Lumpur telah disuraikan oleh pihak polis. Dari jumlah lebih kurang 200 orang 21 dari mereka telah ditahan, walaupun hanya untuk beberapa jam, oleh pihak polis. Yang ditahan termasuklah beberapa YB, iaitu Charles Santiago (Klang), Abdullah Sani (Kuala langat), Dr. Nasir (Kota Damansara) dan beberapa aktivis dari GMI, SUARAM dan sebagainya. Candle-light vigil ini tiada benda sebenarnya, bukan mereka nak bakar bandar KL dengan lilin-lilin mereka! Mereka hanya memegang lilin yang bernyala secara beramai-ramai dengan tujuan membantah keganasan yang berlaku di Gaza, Palestine. Mereka juga membantah peperangan dan keganasan di Sri Lanka.

Tindakan bantahan secara aman damai ini bagaimanapun telah disuraikan polis. Ianya menimbulkan persoalan apa tujuan kerajaan BN sebenarnya? Kerajaan BN menyatakan mereka membantah tindakan Israel, tetapi pogram rakyat yang membantah keganasan Israel disuraikan polis! Mereka akan menggunakan alasan isu Sri Lanka yang dibangkitkan tetapi itu hanya alasan. Tidakkah secara prinsip kita mesti membantah keganasan terhadap rakyat jelata walau di mana sekalipun ianya berlaku? Rakyat yang tidak bersenjata dan tiada kemampuan untuk melindungi diri tidak harus dibenarkan menjadi mangsa peperangan.
Mungkin pihak BN menganggap isu Gaza dan Palestine adalah isu orang Islam/Melayu sahaja. Mereka tidak senang melihat bantahan oleh rakyat yang bukan Islam. Sekiranya itulah alasan mereka maka mereka memang jahil tentang Palestine. Penduduk Palestine bukan orang Islam sahaja. Ramai penduduk Gaza terdiri dari orang Kristian. Malahan ada ahli dan penyokong HAMAS yang merupakan penganut agama Kristian.
Mungkin UMNO dalam isu ini ingin menggunakan dasar ‘divide and rule’. Mereka tak senang melihat orang berbilang agama dan berbilang kaum bersatu atas isu yang seperti ini. Mereka hanya inginkan orang Melayu Islam sahaja bersatu supaya mereka boleh berkata kepada PAS, “lihat, kita ada banyak persamaan, marilah kita bersatu”.

Ini jugalah seruan Pewaris. Kumpulan yang datang untuk menimbulkan provokasi di Seksyen 19 Shah Alam. Mereka seolah-olah menyeru orang Melayu/Islam bersatu untuk menekan kaum India supaya orang India akan memindahkan kuil mereka kepada mana sahaja yang ditentukan oleh pihak MBSA. Walau ke ceruk mana. “Melayu bersatu! Melayu bersatu!” laungan mereka. Bersatu untuk ke mana? Ke landasan rasuah, penipuan dan penyelewengan yang telah disediakan selama ini oleh UMNO? Tak payah lah. Landasan kita adalah Islam dan kalau tak berapa tahu Islam, mengajilah. Datang kuliyah agama ataupun ceramah PAS, insyaAllah, semuanya akan jelas.

Tetapi yang anehnya tindakan provokasi mereka langsung tidak dihalang. Polis ada tetapi hanya melihat. Terkenang pula kita peristiwa Ahmad Ismail Penang dulu. Dia yang mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman dan hasutan, Teresa Kok dan RPK yang ditahan ISA! Inilah double standard kerajaan BN yang akan hanya menambahkan meluatnya rakyat terhadap mereka. Ini menimbulkan banyak persoalan. Adakah pihak polis bersetuju dengan tindakan Pewaris? Adakah Pewaris mempunyai pelindung sehingga polis tidak bertindak walaupun kegiatan Pewaris jelas provokasi? Adakah provokasi dan ketegangan kaum yang mereka inginkan? Jawapan kepada persoalan ini hanya mampu dijawab oleh saudara semua, mengikut penilaian dan kebijaksanaan masing-masing. Yang jelas ada double standard! Yang lagi jelas, double standard ini tidak akan berakhir selagi BN memerintah.

Bagi penghuni Seksyen 19, khususnya yang rumah mereka seberang jalan kuil berkenaan, bersabarlah. Pihak kuil sudah bersetuju untuk berpindah hanya ‘kita’ sahaja yang belum memberikan mereka tempat alternatif yang boleh diterima oleh mereka. Sambil menunggu mereka tidak dibenarkan membuat apa-apa pembinaan di kuil tersebut, sehingga bumbung mereka terus merupakan trampolin (kanvas) yang ditembusi hujan bila ianya hujan. Tandas mereka bagaikan pondok usang yang akan roboh pada bila-bila masa. Isu penempatan baru kuil ini akan diselesaikan tak lama lagi, insyaAllah. Pada bulan 10 selepas Raya kita telah berbincang dengan semua pihak. Sepatutnya dah ada keputusan sbelum ini. Malangnya Dato’ Bandar ke luar negara dan seterusnya mengikuti kursus. Hanya baru-baru ini dapat bertemu kembali.

Sebelum datangnya gerombolan Pewaris kami telah bermesyuarat. Ada beberapa tapak yang dicadangkan. Pihak kuil akan menziarahi tapak-tapak ini sebelum memberi kata putus. Harap-harap boleh selesai dengan baik. Sekiranya dapat selesai, maka ianya akan merupakan kejayaan besar kerajaan PR. Sedangkan UMNO/BN hanya pandai menimbulkan masalah. Seperti Pewaris. Mereka ingin mengusir kuil tersebut. Soalnya, ke mana? Mereka tak tahu dan mereka tak kisah. Tetapi, itu bukan cara kita menyelesaikan masalah, itu hanya menambahkan masalah.

WalLahu 'Alam

Posted by Khalid Samad at 5:35 PM Labels: BN, Islam, PR, Shah Alam, UMNO