Tuesday 12 January 2010

Petikan Malaysiakini berkaitan Kuil Seksyen 19

Kuil Seksyen 19 dakwa sesak kerana tapak parkir diambil Pewaris eksklusif Pengurusan kuil di Seksyen 19 Shah Alam mendakwa kesesakan timbul apabila tapak letak kereta bagi kuil itu ini telah dipagar oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), sejak awal tahun ini, kerana penganutnya terpaksa meletakkan kenderaan di tepi-tepi jalan di seksyen berkenaan. 

Seorang jurucakap Pewaris, Datuk Nadzim Johan, bagaimanapun menafikannya dengan alasan penganut Hindu yang datang beribadat di situ masih boleh meletakkan kenderaan di jalan-jalan sekitar kawasan tersebut.

Pengerusi jawatankuasa kuil berkenaal R Selvakumaran juga berkata tapak kuil itu yang dimiliki PKNS yang ada sekarang sudah tidak lagi sesuai untuk diadakan sambutan-sambutan perayaan Hindu kerana ruang sempit. 

"Memang sesak," katanya ketika dihubungi Malaysiakini minggu lepas, mengenai aduan-aduan yang diterima oleh pihaknya daripada penduduk-penduduk sekitar.

"Dulu kita boleh letak kenderaan di atas tanah itu (kini dijadikan tapak aktiviti Pewaris - editor), sekarang tidak boleh buat apa-apalah, terpaksa letak kenderaan di depan rumah orang."

Tambahnya, pihak kuil maklum dengan kegelisahan penduduk di kawasan tersebut akibat daripada aktiviti keagamaan mereka di kuil berkenaan.

"Dekat sini kalau orang tidak suka (kegiatan) kita, kita pun tak suka kuil ada di sini," kata Selvakumaran lagi.

Beliau, yang berkhidmat dalam jawatankuasa kuil berkenaan selama lebih 15 tahun, juga berkata hubungan di antara penganut Hindu dan masyarakat setempat yang majoritinya Islam di Seksyen masih baik walaupun ada pihak cuba mengeruhkan suasana dengan menganjurkan demonstrasi dengan membawa kepala lembu di depan bangunan kerajaan Selangor, 28 Ogos lalu.

"Setiap kali kalau kami mahu membuat sambutan kebesaran apa-apa, kami akan beritahu penduduk dan minta maaf sekiranya timbul gangguan," jelasnya. 

Selvakumaran berkata, kuil berusia lebih 100 tahun itu dapat digunakan kerana masih dibekalkan dengan elektrik dan air, tetapi keadaan akan lebih selesa jika kuil tersebut terus dipindahkan ke tapak baru di Seksyen 23 seperti yang dirancang. 

"Tapi kalau dapat pindah ke Seksyen 23 lebih baik. Di sana jauh dengan rumah orang. Kami juga boleh sembahyang dengan lebih selesa," katanya. 

"Semua orang di sekitar Shah Alam, termasuk di Sri Muda mudah untuk pergi ke kuil berkenaan. Akses lebih senang sebab dekat dengan jalan besar." 

Jelasnya, tapak seluas satu ekar di seksyen tersebut sesuai untuk dijadikan tapak baru kuil Sri Maha Mariamman kerana kedudukannya yang jauh daripada rumah orang Islam di kawasan berkenaan, berbanding pada kedudukan sedia ada.
______________________________________________________________

Tiada tindakan pada tapak Pewaris di sebelah kuil Seksyen 19

kemaskini 5.14pm 

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap tapak gelanggang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di sebelah kuil Seksyen 19 walaupun ia didirikan tanpa kebenaran. 

Seorang ahli majlis Mohd Harris Abu Bakar berkata, walaupun MBSA mengetahui tapak berkenaan dibina secara haram, majlis itu tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya demi menjaga kerukunan di kejiranan berkenaan.

Kecenderungan berlaku ketegangan di kalangan penduduk di seksyen berkenaan sejak awal tahun ini – selepas majlis perasmian tapak gabungan NGO Melayu itu – menyebabkan MBSA perlu mengambil pendekatan sedemikian, tambahnya. 

Jelasnya lagi, pihak majis terpaksa beralah dan menganggap tapak yang dibina oleh Pewaris itu sebagai tapak sementara sebelum satu kawasan yang lebih sesuai dikenalpasti. 

"Pagar (tapak gelanggang) itu mereka dirikan sendiri tanpa kebenaran MBSA. Tidak ada kelulusan rasmi dari pihak kita.

"Kalau nak robohkan pagar itu, Pewaris mahu kita robohkan kuil juga. Susahlah bila mereka mainkan sentimen seperti itu. Jadi kita biarkan dulu. 

"Ini adalah sementara sahaja, bukan kekal. Tanah kuil di Seksyen 19 akan dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selepas selesai urusan pemindahan kuil ke tapak baru termasuk kawasan yang digunakan oleh Pewaris," katanya lagi.

Mohd Harris diminta mengulas tuduh-menuduh isu kesesakan lalulintas di Seksyen 19 susulan kewujudan sebuah kuil dan tapak gelanggang Pewaris seperti dilaporkan Malaysiakini semalam. 

Aduan-aduan yang diterima daripada segelintir penduduk di situ berhubung rasa tidak senang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan Pewaris di kawasan tersebut, katanya lagi. 

"Setakat ini tidak ada terima apa-apa aduan tentang itu, cuma penduduk India di situ yang banyak buat aduan kepada kita, tetapi mereka banyak bersabar dan ikut nasihat kita," katanya.

Mohd Harris – turut mengetuai Majlis Perwakilan Penduduk Zon 7 Shah Alam yang meliputi Seksyen 19 – juga menjelaskan, aduan tersebut berkaitan satu upacara anjuran Pewaris di kawasan tersebut awal tahun ini.

"Majlis sembelih lembu itu diadakan pada tarikh yang sama (10 Januari) dengan satu upacara sembahyang di kuil. 

"Jadi kita nasihatkan mereka (pihak kuil) supaya tidak jalankan upacara sembahyang sebab kita takut bertembung. Mereka ikut nasihat kita," kata ahli majlis MBSA itu lagi. 

"Kita buat juga pemantauan pada hari berkenaan untuk mengelakkan mereka bertembung dan hal yang tidak baik." 

Mengulas mengenai status tanah yang menempatkan kuil dan tapak gelanggang Pewaris itu, beliau menjelaskan kedua-dua milik PKNS. 

"Tanah itu boleh didirikan rumah atau dijadikan taman rekreasi, sebab di sekitar kawasan tersebut memang tidak ada taman rekreasi," tambahnya. 

Kuil di Seksyen 19 dirancang untuk dipindahkan ke Seksyen 23 tetapi cadangan itu dibantah keras sekumpulan penduduk sehingga menjadi kontroversi besar - susulan demonstrasi dengan membawa kepala lembu 28 Ogos lalu dan kekecohan sesi dialog dengan kerajaan Selangor, 5 September lepas.
______________________________________________________________

Pewaris nafi punca sekitar kuil sesak

Eksklusif kemaskini 7.32pm : Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) menafikan kawasan lapang yang dimajukan di sebelah kuil di Seksyen 19 Shah Alam punca kesesakan lalulintas seperti yang didakwa pengurusan kuil Sri Maha Mariamman. 

Jurucakap gabungan NGO Melayu itu berkata isu kesesakan tidak timbul kerana penganut Hindu yang datang beribadat di situ masih boleh meletakkan kenderaan di jalan-jalan sekitar kejiranan tersebut. 

Datuk Nadzim Johan memberitahu Malaysiakini hari ini, Pewaris bertanggungjawab memagar sebahagian daripada tanah yang terletak bersebelahan dengan kuil lama yang ingin dipindahkan ke Seksyen 23 Shah Alam – yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini – untuk kegunaan riadah dan aktiviti penduduk sekitar. 

"Bila kita dah pagar, mereka masih boleh letak kereta di jalan-jalan," katanya, yang juga setiausaha kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), satu anggota gabungan Pewaris. 

Tambahnya, walaupun tidak diberi kuasa, mereka berhak membenarkan tanah berkenaan digunakan untuk aktiviti penduduk di kawasan tersebut kerana kuil di situ juga menduduki tapak berkenaan tanpa kebenaran

"Tanah ini kita serahkan kepada penduduk di kawasan ini untuk mereka buat aktiviti riadah, perjumpaan atau kenduri," kata Nadzim.

"Tanah itu memang milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kita cuma pinjam tanah itu untuk kegunaan penduduk. Kuil itupun pinjam tanah PKNS."

Sementara itu, pembinaan tapak gelanggang Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) di sebelah kuil di Seksyen 19 Shah Alam satu "tindakan provokasi" terhadap penganut Hindu, kata ahli parlimen Shah Alam. Khalid Samad – yang bergegas ke kawasan berkenaan sewaktu gabungan NGO Melayu itu sedang membuka tapak dua hari sebelum perasmiannya 10 Januari lalu – berkata, usaha membuka tapak berkenaan hanyalah satu "helah".

"Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu memprovokasi pihak kuil berkenaan," katanya di blog peribadinya (www.khalidsamad.com).

Jelasnya, beliau dimaklumkan pada 8 Januari lalu bahawa terdapat sekumpulan orang dari luar seksyen tersebut ingin “menimbulkan ketegangan” di kuil tersebut, termasuk mengadakan kenduri dengan jamuan daging lembu kepada orang berdekatan kuil berkenaan.

"Mereka ingin membina 'gelanggang silat' di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada Sabtu 10 haribulan (Januari) ini.

"Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan dua ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan,” tulisnya lagi.

Khalid, yang melabelkan penyokong Umno sebagai dalang membantah pemindahan kuil tersebut ke Seksyen 23 Shah Alam yang menjadi kontroversi besar, berkata bahawa Pewaris membuka kawasan itu tanpa kebenaran rasmi pihak berkuasa tempatan. 

"Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada pihak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!" tulisnya, yang juga pemimpin PAS Shah Alam. 

Dalam artikel di blognya itu, Khalid turut merekodkan pertengkaran dengan beberapa orang yang hadir pada majlis anjuran Pewaris di situ apabila beliau dicabar kerana didakwa cuba "membela" kuil berkenaan. 

"Dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, 'awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini'? 

"Saya jawab, 'kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka',” katanya. 

"Saya menambah lagi, 'kita marah bila Israel mengasari umat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel'." 

Satu kumpulan foto majlis perasmian tapak berkenaan pada 10 Januari lepas yang dirakamkan seorang jurugambar bebas menunjukkan, antara lain, aktiviti meratakan tanah di sebelah kuil (foto paling atas), persembahan silat, ucapan daripada beberapa individu dan sejumlah hadirin (dua foto bawah). 

Gambar-gambar milik jurugambar yang dikenali dengan nama Minaq Jinggo itu dimuatkan ke laman perkongsian imej fotopages. Foto-foto dalam set berkenaan turut menujukkan majlis pelancaran satu kempen boikot produk alkohol dan barangan Israel, manakala kain-kain rentang yang dipaparkan antaranya ditulis: "Hak kami diabaikan, hak orang lain dijunjung", "Kekalkan ISA, laksanakan hudud" dan "Jangan jadi pelacur politik kerana nakkan kuasa."