Tuesday, 4 January 2011

Masalah kuil Seksyen 19 Shah Alam yang menjadi Isu Negara



1. Sepanjang minggu pertama bulan September 2009, isu pemindahan kuil Seksyen 19 dan bantahan penduduk Islam Seksyen 23 menjadi tajuk utama media dan jadi Isu Negara. Pelbagai pihak membuat komen tanpa mengetahui secara terperinci punca sebenar menyebabkan masalah ini. Kami tidak memihak kepada mana mana parti politik, tetapi sebagai penduduk tempatan yang telah bersama-sama persatuan kejiranan kami berusaha menuntut hak kami untuk hidup aman dan tenang dikawasan kami sendiri. Akhbar Harakah keluaran 4-6 September 2009 telah menyiarkan gambar kepala lembu dimuka hadapan mengutuk perarakan anti-agama yang katanya boleh cetus huru hara jelas meniupkan sentimen perkauman. Kenapa begitu mudah membuat tuduhan bahawa tindakan itu menghina agama lain?. Ia akan mengundang pelbagai spekulasi yang akan memburukkan lagi keadaan. Pihak UMNO sering menjadi mangsa kerana segala keburukan ditujukan kepada mereka. Ini tidak adil kerana dalam masalah Kuil Hindu itu pemimpin PAS juga wajar dipersalahkan. Salah satu sebab punca kekalahan UMNO di Shah Alam adalah kerana isu kuil Hindu yang gagal ditangani dengan berkesan oleh pemimpin UMNO/BN. Jadi penduduk yang kecewa telah memihak kepada pembangkang. Tetapi keadaan yang diharapkan menjadi lebih baik daripada masa lalu, menjadi semakin bercelaru. Lain yang diharapkan, lain pula masalah dan gangguan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk Islam.



2. Masalah kuil di Seksyen 19 sudah memakan masa 22 tahun sejak tahun 1988 masih belum selesai hingga kehari ini. Setiap kali kuil itu diarahkan berpindah pasti ada campur tangan politik yang telah melewatkan proses pemindahan itu. Campur tangan inilah yang menyukarkan pihak penguatkuasa untuk bertindak memindahkan kuil itu kekawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka. Rumah teres dua tingkat sebanyak 16 unit masih gagal didirikan ditapak itu kerana pihak kuil masih enggan keluar dari situ dengan pelbagai alasan. Semasa penduduk mula berpindah kekawasan perumahan ini pada tahun 1988 kuil itu kecil dan usang sahaja. Tidah ada bekalan air dan elektrik dikuil pada masa itu. Kawasan persekitaran kuil itu semak dan sering ditenggelami air selepas hujan lebat. Pada tahun 2000 persatuan penduduk sudah berusaha membuat permohonan kepada pihak berkuasa melalui bekas Adun pada masa itu, mohon agar kawasan yang terbiar dan kawasan hijau dijadikan Taman Komuniti untuk kegunaan penduduk tempatan. Tetapi, hanya jogging track diluluskan MBSA.

3. Pada tahun 2000 kuil usang dikawasan terbiar itu telah digunakan oleh penduduk India yang datang beramai-ramai dari kawasan Seksyen 20 yang baru dibuka ketika itu. Mereka bergabung dengan penduduk setinggan mengaktifkan kuil usang itu. Persatuan penduduk terpaksa membuat aduan dan perjumpaan kerana perkembangan yang berlaku telah mengganggu kehidupan penduduk Islam. Selepas beberapa kali perjumpaan diadakan kuil itu telah diarahkan berpindah ke kawasan kuil berkelompok Seksyen 18 pada tahun 2003. Pihak kuil enggan berpindah berpindah ke Seksyen 18 dengan pelbagai alasan. Selepas itu bekalan elektrik telah dimasukkan kekuil itu. Bekalan air diambil secara haram dari paip jalan besar. Beberapa orang penduduk telah membuat aduan kepada pihak Jabatan Bekalan Air Klang. Pada tahun 2005, penduduk setinggan berhampiran jalan keretapi telah dipindahkan. Kuil pula jadi semakin aktif selepas penduduk setinggan berpindah. Pengunjung kuil kebanyakannya dari kawasan lain. Kedudukan kuil yang diubahsuai semakin menghampiri rumah penduduk Islam hanya dipisahkan dengan jalanraya sahaja. Pada masa itu hanya satu keluarga India sahaja tinggal berdekatan kuil. Mereka sudah berpindah dari Seksyen 19 beberapa tahun lalu.

4. Jika bukan Islam mempertikaikan azan yang masanya tidak sampai pun 10 minit, penduduk Islam berhampiran kuil Seksyen 19 terpaksa mendengar lagu-lagu Hindu yang dipasang kuat beberapa jam setiap pagi, petang dan malam. Apabila keramaian diadakan, penduduk terpaksa mendengar pelbagai bunyi gendang membingitkan telinga berjam-jam lamanya. Penduduk terpaksa menghidu bau kemenyan yang kuat menusuk hidung. Kawasan berhampiran kuil akan berjerebu setiap kali unggun api yang besar dipasang disitu. Kawasan sekitar menjadi sesak dan bising dari pagi hingga kemalam. Pengunjung kuil sering memakir kenderaan sesuka hati dihadapan pagar penduduk. Lalu lintas sering terganggu di Jalan 19/24 dan Jalan 19/28. Pada bulan November dan Disember gangguan bising berlaku hampir setiap malam. Mereka mengadakan upacara seperti berdikir barat, bergendang sambil menyanyi dan bertepuk tangan beramai-ramai. Semasa mengadakan upacara itu pengunjung kuil memakai kain hitam. Banyak masalah sampingan dihadapi penduduk akibat kegiatan mereka disitu. Pihak kuil tidak ambil peduli sensitiviti penduduk Islam yang tinggal berhampiran kawasan kuil.

5. Penduduk Islam amat sedar usaha-usaha yang mereka buat untuk kekal terus disitu. Walaupun bantahan telah dibuat kepada pihak berkuasa, namun mereka buat juga ubahsuai membesarkan kuil, masukkan bekalan air dan elektrik serta membawa masuk barang kekuil itu. Semasa persatuan penduduk buat perjumpaan dengan Pegawai-pegawai penguatkuasa dan Jabatan Perancang MBSA, penduduk dimaklumkan ia-itu “Tindakan memindahkan kuil itu akan dibuat jika ada arahan daripada pihak SUK. Adanya campur tangan pemimpin politik kaum mereka dalam masalah kuil itu. Pihak kuil mendapat sokongan komuniti India dari kawasan lain. Penguatkuasa sering menerima ancaman dan ugutan jika bertindak keatas kuil itu.” Ulasan : Jika penguatkuasa takut untuk bertindak bagaimana pula dengan nasib penduduk Islam yang tinggal berhampiran kawasan kuil itu? Penduduk berhadapan dengan pelbagai risiko jika menegur mereka. Masalah yang dihadapi penduduk akibat gangguan pengunjung kuil itu telah menyebabkan tekanan emosi dan mencabar kesabaran penduduk Islam.

6. Persatuan penduduk telah menghantar aduan kepada DYMM Sultan Selangor pada 28/07/2006 apabila pihak kuil membuat ubahsuai besar-besaran selepas bekalan air dimasukkan bulan Jun 2006. Selepas aduan, dua papan tanda telah dipasang “Tanah Milik PKNS Penceroboh Akan didakwa” di Jalan 19/24 dan Jalan 19/25. Tetapi notis larangan itu tidak langsung menakutkan pihak kuil. Realitinya tanah itu terus diceroboh kerana mereka tidak pernah didakwa. Ubahsuai terus dibuat walaupun penguatkuasa sering membuat rondaan. Perjumpaan telah dibuat oleh persatuan penduduk dengan bekas Adun Batu 3 pada 15/09/2006. Menurut bekas Pembantu Khas Adun Batu 3, pihak kuil telah ditawarkan berpindah kekawasan Seksyen 23 tetapi mereka telah menolak dengan alasan berdekatan dengan loji najis Indah Water. Perjumpaan penduduk dengan bekas Menteri Besar Selangor yang dihadiri oleh 7 orang wakil penduduk yang diketuai oleh bekas Nazir Masjid Ubudiah diadakan pada 09/10/2006. Selepas itu aduan telah dihantar kepada Pengurus Besar PKNS pada 20/12/2006. Pihak PKNS telah menghantar ramai Juru Ukur menyukat kawasan kuil itu pada bulan April dan Mei 2007. Penduduk dimaklumkan rumah teres dua tingkat yang tergendala sebanyak 16 unit akan didirikan. Tetapi sehingga kini tidak ada tindakan susulan oleh pihak PKNS ditapak itu.

7. Pada bulan Julai 2007 pihak kuil mengadakan keramaian selama beberapa hari. Semua aduan kepada pihak berkuasa terima jawapan "Tunggu Arahan SUK". Sampai bertahun-tahun penduduk menerima jawapan yang sama juga. Oleh kerana tidak ada tindakan serius kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kuil, penduduk menghantar aduan kepada Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri dan Badan Pencegah Rasuah. Maklumbalas daripada kedua-dua jabatan untuk segera menyiasat aduan penduduk amatlah dihargai. Pelbagai agensi kerajaan telah menghantar maklumbalas yang positif untuk mengatasi masalah penduduk. Akhirnya penduduk menerima makluman daripada Jabatan Perancang MBSA pada 29/12/2007 kuil dipindahkan ke Seksyen 22.

8. Kerajaan BN diganti kerajaan PR selepas pilihanraya March 2008. Aduan telah dibuat kepada pemimpin Pakatan Rakyat mohon masalah kuil diberi perhatian. Tetapi penduduk kecewa pemindahan kuil ke Seksyen 22 telah dibatalkan dengan alasan tapak itu jauh kedalam. Usaha penduduk Islam selama bertahun-tahun menuntut kuil itu dipindahkan menjadi sia-sia. Kenapa begitu mudah dibatalkan oleh pemimpin PR?. Pemimpin BN pasti telah mengkaji sebelum tapak itu dipilih. Pelbagai usaha dibuat oleh pemimpin BN membantu penduduk sering dituduh UMNO tidak berbuat apa-apa. Apa yang menghairankan kenapa pihak kuil yang enggan keluar dari tapak itu disokong pula oleh pemimpin PR. Malah pemimpin Islam PR amat bersimpati kerana tapak diperuntukkan di Seksyen 22 tidak sesuai dan jauh. Sikap toleransi pemimpin PR kepada pihak kuil telah menjadikan mereka semakin aktif dikuil itu. Apabila penduduk mengadu masalah gangguan kuil pemimpin terdahulu yang dipersalahkan. Walhal gangguan yang dihadapi selepas Mac 2008 lebih teruk daripada masa lalu. Pada bulan April 2008 bendera PKR dan bendera PAS dipasang pada notis larangan menceroboh di Jalan 19/24. Mereka mempersendakan notis PKNS itu. Penduduk yang bertanya kenapa letak bendera disitu telah dijawab pemuda kuil, “Dua-dua parti sudah sokong kuil tidak payah pindah”. Perjumpaan penduduk dengan YB Adun diMasjid Ubudiah pada April 2008, tetapi jawapan YB Adun mengenai tidak dipersetujui penduduk kerana YB tidak memihak kepada penduduk Islam.

9. Penduduk menghantar aduan melalui surat mohon bantuan pemimpin PAS Pusat, Datuk Dr. Haron Din pada 23hb Julai 2008 yang telah ditandatangani oleh 17 orang penduduk. Namun tiada sebarang maklum balas diterima. Apabila penduduk menghubungi pembantu beliau, kami diminta membuat aduan kepada YB Datuk Dr Hasan Ali dan YB Khalid Samad. Aduan juga telah dihantar kepada Ketua Pengarah JAKIM pada 22hb. Julai 2008 tetapi tiada maklumbalas yang diterima. Aduan juga sudah beberapa kali dihantar kepada YAB Menteri Besar Selangor dan salinan kepada YB Dato Dr. Hassan Ali sebagai Exco Hal Ehawal Islam. Aduan-aduan dan perjumpaan sudah dibuat dengan YB Ahli Parlimen Shah Alam dan YB Adun Batu 3. Tetapi masalah gangguan pihak kuil tidak berkurangan pun malah semakin menjadi-jadi. Jiran-jiran penduduk yang tinggal tidak jauh dari kawasan kuil seperti Penceramah PAS terkenal Encik Md. Sabu, dan Timbalan Mufti Selangor sepatutnya peka masalah yang dihadapi oleh jiran-jiran Islam yang menghadapi masalah gangguan berterusan dari kuil itu. Petikan akhbar diatas apa tindakan mufti kepada mereka yang membuat demo kepala lembu?. Persoalannya kenapa Wakil Rakyat PAS menyerang Pemimpin NGO Islam yang membantu penduduk disokong pula? Malah terlalu banyak komen negatif selepas artikel YB Khalid Samad mengenai Persoalan Kuil di Seksyen 19 dan Tindakan Pewaris tersebar meluas dalam banyak blog pro Pakatan Rakyat. Kenapa membuat pelbagai tuduhan tanpa menyiasat kenapa penduduk mohon bantuan NGO?

10. Aduan dibuat kepada kepada YB Adun Batu 3 apabila penduduk melihat pihak kuil membesarkan jalan masuk kekuil dan membesarkan tangga. Pada hari itu penduduk Jalan 19/28 melihat YB Adun datang meninjau kawasan kuil dan berjumpa AJK kuil itu. Pada 13/07/2008 komen yang keluar dalam blog YB “Diatas aduan penduduk bahawa ada pembinaan ditapak kuil, tetapi selepas dilihat tiada pembinaan.” Adakah penduduk menipu buat aduan itu?. Pada 21/07/2008 tiga buah lori membawa barang masuk kekawasan kuil. Seorang penduduk menahan sebuah lori di Jalan 19/28 dan bertanya untuk apa barang-barang itu? pemuda kuil selamba menjawab kerajaan baru sudah lulus besarkan kuil. Penduduk sekitar buat aduan kepada YB Adun. Barang-barang dinaikkan semula keatas lori dan dibawa keluar. Jika tidak ada penduduk yang melihat kejadian itu kuil pasti sudah dibesarkan ketika itu. Mereka hendak membuat ubahsuai membesarkan kuil sebelum keramaian Julai 2008.

11. Keramaian bergendang diadakan semakin kerap pada bulan Julai 2008. Gangguan bising bergendang sudah melepasi waktu tengah malam. Mereka mengganggu ketenteraman awam dikawasan majoriti penduduk Islam. Pada malam 25/07/2008 pelbagai bunyi gendang mengganggu penduduk pada jam 9 hingga 11 malam. Selepas itu pada jam 12 mereka buat perarakan bergendang naik kekawasan lama setinggan. Perarakan bergendang yang teramat bising dan kecuh itu sampai di hadapan rumah penduduk Islam Jalan 19/28 membawa tiga patung kuda terbang pada jam 1.00 pagi (26/07/2008). Perarakan itu masuk ke Jalan 19/24 sebelum turun semula kekuil. Polis datang buat rondaan jam 1.15 pagi barulah mereka berhenti bergendang, tetapi selepas polis beredar terdengar jeritan “Apa komplen-komplen Melayu bodoh”. Penduduk berdekatan yang menegur kerana mereka buat bising waktu tengah malam telah diugut akan bunuh penduduk sekitar jika mereka diganggu. (Lapuran polis telah dibuat). Gangguan bising pemuda India yang memecut motorsikal keluar masuk kawasan penduduk. Mereka sering berlonggok, minum dan mabuk dan ada yang berani membuat ugutan jika ditegur. Papan tanda Jalan 19/29 disembur cat putih ditulis angka 303. Rumah penduduk diconteng besar angka 303. Semasa penduduk menyambut Hari Raya Aidilfitri Oktober 2008 gangguan bising amat keterlaluan. Lagu-lagu Hindu dipasang kuat membingitkan telinga setiap pagi dan malam. Ubahsuai membesarkan bilik kuil telah dibuat lagi pada 14/12/2008 dan 21/12/2008.

12. Semasa perjumpaan penduduk dengan YB Adun pada malam Ahad 21/12/2008, penduduk telah mengadu masalah semasa akibat gangguan keterlaluan pengunjung kuil yang sudah serius. Pada malam itu keluarga yang diugut pada 26/07/2008 mengadu bagaimana mereka telah diancam selepas menegur, penduduk mengadu depan pagar rumah diletakkan parang bersilang, penduduk mengadu pemuda India menuntut wang jika mahu kuil senyap semasa beliau mengadakan majlis tahil selepas kematian ahli keluarganya, penduduk memberitahu kaset bacaan Quran terpaksa dipasang kerana tidak tahan gangguan bising lagu-lagu Hindu. Rumah penduduk yang diconteng angka 303 juga telah diberitahu kepada YB pada malam itu. Persoalannya, wajarkah keadaan seperti ini berlaku didalam kawasan majoriti penduduk Melayu Islam?. YB Adun beritahu pihak kuil mengadu mereka sudah mimpi kuil tidak boleh pindah. Pihak kuil memberi pelbagai alasan agar kuil terus kekal ditapak itu.

Info gambar: Petikan filem Tauke Mancis dan Minyak Tumpah penduduk memberitahu salah satu ugutan yang dibuat kepada penduduk yang menegur diletak parang dipagar rumah beliau.

13. Aduan dibuat kepada pertubuhan NGO Islam kerana pelbagai gangguan yang dihadapi sudah menjadi kronik. Selepas begitu banyak aduan kepada pihak berkuasa tidak ada perubahan dikuil itu. YB Khalid Samad turun padang pada 08/01/2009 bertegang leher dengan pemimpin NGO Islam menuduh mereka datang membuat provokasi kepada pihak kuil. Kenapa beliau tidak merasa simpati kepada masalah penduduk Islam hingga terpaksa minta bantuan pihak luar? Beliau seharusnya sedar penduduk berhadapan dengan situasi yang sukar kerana gangguan pengunjung kuil yang sudah keterlaluan. Selepas campur tangan NGO gangguan kuil sudah berkurangan sedikit. Bendera parti PAS dan PKR telah diturunkan daripada papan tanda oleh penguatkuasa MBSA pada 08/01/2009.

14, Pada 08/02/2009 sempena cuti hari Thaipusam, pihak kuil telah mendirikan bilik air dan tandas dibelakang kuil berdekatan Jalan 19/25. Alasan mereka tandas yang dibuat pada tahun 2006 telah masuk kedalam kawasan gelanggang. Penduduk berhampiran bertanya kenapa buat tandas disitu? Mereka menjawab sudah dapat kebenaran YB Khalid Samad. Jelas sekali ubahsuai dan pembesaran bilik-bilik kuil dibuat adalah kerana mereka mahu terus kekal disitu. Tidak lama selepas tandas itu siap seorang sami dibawa masuk dan tinggal menetap disebuah bilik disitu. Selama 20 tahun penduduk tinggal disini tidak pernah ada sami tinggal dikuil itu. Sejak ada sami, kuil dibuka selepas Subuh. Pada awal pagi lagu-lagu Hindu sudah kedengaran. Loceng kuil dan bacaan mentera juga akan berbunyi awal pagi. Penduduk tidak merasa terkejut apabila membaca artikel dalam blog YB Khalid Samad pada 18/08/2009 yang menulis masyarakat Hindu ingin kekal di kuil iitu kerana disitu tapak asal kuil mereka. YB Khalid amat bersimpati dengan pihak kuil yang mengganggu penduduk Islam.

15. Pada 19/08/2009 YB Khalid menulis dalam blog beliau ungkapan “Dasar kerajaan Pakatan Rakyat mudah, tiada kuil baru, tiada kuil diroboh”. Persoalannya apakah dengan adanya dasar itu kuil Seksyen 19 itu tidak akan diroboh bila kuil baru siap kelak?. Aduan telah dihantar kepada MB Selangor, SUK dan Exco Agama pada 29/08/2009 membantah dasar PR itu. Wajarkah YB Khalid Samad menulis lagi didalam blognya, 30/08/2009, “Terdapat segelintir golongan yang bagaikan tidak sanggup melihat kuil dan tokong, sekiranya mereka buka jendela rumah dan dapat melihat bumbung kuil atau tokong mereka bagaikan dirasuk”. YB Khalid Samad tidak pernah mengalami kehidupan penduduk yang terpaksa tinggal berhampiran kuil diSeksyen 19 sebab itu beliau menulis apa sahaja tanpa peduli perasaan penduduk sekitar merasa tersinggung. YB Khalid sepatutnya datang sendiri melihat suasana semasa keramaian diadakan dikuil itu. Jadi YB boleh dapat jawapan siapakah sebenarnya yang bagaikan dirasuk. Jika pihak NGO Islam dan pengarah filem boleh datang memantau keadaan semasa keramian diadakan kenapa Wakil Rakyat Shah Alam tidak melakukannya? Bila penduduk ambil tindakan pihak UMNO pula yang dipersalahkan. Cabaran yang dihadapi penduduk Islam bukan sahaja daripada pihak kuil, tetapi juga daripada pemimpin Islam sendiri. Janganlah setiap kesalahan dituding jari kepada penduduk Islam atau NGO Islam dan kerajaan yang terdahulu sahaja. Banyak tindakan dibuat oleh YB AP sendiri tidak mengambil kira kesan dan akibatnya kepada penduduk Seksyen 19.

16. Isu kuil Seksyen 19 Shah Alam yang panas pada awal bulan September 2009 telah mendapat liputan meluas pihak media. Pelbagai jabatan kerajaan telah menghantar wakil datang melihat kuil yang sudah menjadi Isu Negara. Tidak kurang juga wakil-wakil media yang telah datang menemubual penduduk tempatan. TV Selangor juga menghantar wakilnya berjumpa penduduk Seksyen 19. Penduduk diminta bercakap soal positif sahaja dan tidak boleh bercakap masalah gangguan kuil. Hasilnya berita yang disiarkan telah ditokok tambah lebih banyak menyalahkan kerajaan terdahulu sahaja. Kebanyakan penduduk yang ditemui oleh pihak media melepaskan marah kepada dua pemimpin politik iaitu YB DSKT dan YB Ahli Parlimen Shah Alam yang tidak bersungguh-sungguh membantu penduduk Islam.

17. Penduduk Islam Seksyen 19 terus menunggu janji pihak PKNS kepada penduduk untuk pindahkan kuil. Wakil-wakil Rakyat Shah Alam juga sudah berjanji kepada penduduk akan selesaikan isu pemindahkan kuil itu ke tapak baru Seksyen 23 dalam masa yang terdekat. Diharap pemindahan kuil pada kali ini akan menjadi kenyataan. Masyarakat sudah cukup matang boleh menilai yang mana berita benar dan yang mana palsu. Jadi harapan penduduk kepada pihak berkuasa agar jangan kecewakan lagi harapan penduduk Islam di Seksyen 19 yang sudah terlalu lama menanti kemelut ini diselesaikan. Penduduk Islam Seksyen 19 mahu melihat mercu tanda baru dikawasan majoriti masyarakat Islam.

Info gambar : Gambar-gambar diatas adalah petikan dari filem "Tauke Mancis dan Minyak Tumpah" yang menyiarkan kenyataan oleh YB Khalid Ahli Parlimen Shah Alam.