Friday, 10 December 2010

ALBAQARAH: ALAHAI SANG LEMBU

09 SEPTEMBER 2009
ALBAQARAH: ALAHAI SANG LEMBU

(Sang Lembu merenung masa depannya yang terjamin keselamatannya dalam negeri Selangor Darul ... dengan kawalan rapi anggota keselamatan lengkap bersenjata)

Salam 2 all

Surah yang pertama selepas Ummul Kitab Al Fatihah dikenali sebagai Surah Al Baqarah-iaitu Surah Lembu. Diceritakan bagaimana sepeninggalan Nabi Musa as menerima wahyu di Bukit Tursina, pengikutnya Bani Israel telah menjadikan anak lembu sebagai bahan sembahan setelah diperdaya oleh Samiri. ALLAH melaknat Bani Israel dan memerintahkan mereka supaya menyembelih seekor lembu, sebagai bukti keikhlasan mereka bertaubat nasuha dan meninggalkan sembahan tersebut. Bani Israel akhirnya menyembelih seekor lembu sebagaimana yang diperintahkan ALLAH.

Surah Al Baqarah adalah surah yang membahagikn kategori manusia kepada 3 golongan. Pertama golongan beriman, yang menjadikan Al Quran sebagai petunjuk jalan kehidupan, yang meyakini perkara yang ghaib, mengerjakan solat dan mengeluarkan zakat.

Golongan kedua adalah golongan kafir-mereka yang secara terang menolak ketuhanan ALLAH dan mempertuhankan berhala, yang menjadikan manusia sebagai anak tuhan, yang menjadikan batu, kayu, lembu dan pelbagai haiwan dan lain-lain sebagai bahan sembahan.

Golongan ketiga dikenali sebagai golongan munafik, golongan yang nampak lahirnya macam Muslim. Mereka berjanggut serban, mereka melabel diri mereka Islam, tetapi merekalah golongan gunting dalam lipatan, golongan yang sebenarnya menghancurkan Islam. Mereka musuh dalam selimut, dan mereka ini lebih merbahaya daripada kafir kerana mereka berselindung dibalik serban dan janggut, mereka berhujjah menggunakan Al Quran. Mereka ini dila'nat ALLAH, dan tempat mereka didalam neraka wail, neraka yang paling bawah!

Episod kepala lembu ini menunjukkan betapa bangsa Melayu hari ini begitu mudah diperlembukan. Baik yang berkopiah, mahupun yang bersongkok. Samada yang berserban, mahupun yang bersampin. Demi kerana sebiji kepala lembu, bangsa Melayu memekik takbir mempertahankan hak lembu sehingga ketitisan darah lembu yang terakhir, mempertahankannya daripada ancaman keris-keris durjana.

Saya sendiri tidak bersetuju dengan tindakan melampau para demonstran yang membawa kepala lembu dan memijaknya kerana membantah tindakan kerajaan Selangor mengarahkan pembinaan kuil besar di Seksyen 23 Shah Alam. Itu tindakan yang tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al Quran. Walaupun ada yang menyatakan tujuan membawa kepala lembu itu adalah untuk menunjukkan betapa bodoh MB dan beberapa pemimpin Melayu beragama Islam dalam negeri Selangor, yang bertindak saperti lembu yang diperbodohkan, namun persepsi yang timbul jelas membawa kepada kemelut penghinaan kepada penganut agama Hindu yang mempertuhankan dan mempersucikan haiwan lambu ini.

Ada banyak cara lain untuk menunjukkan ketidakpuasan hati kita. Mengapa tidak diambil jalan lain, contohnya memfailkan saman dan injunksi menghalang keputusan kerajaan Selangor tersebut. Ada ramai peguam yang saya kira bersedia memberi khidmat untuk tujuan tersebut. Namun apa yang lebih penting, episod lembu ini telah diputarbelitkan dan digembar-gemburkan oleh banyak pihak termasuk dikalangan Pak Janggut dan Pak Keris sehingga isu sebenar pencerobohan tanah di Seksyen 23 untuk tujuan menghalalkan pemindahan dan pembinaan kuil yang haram terus tenggelam.

Dimana suara-suara Pak Janggut dan Pak Keris ini apabila Jeff Ooi melabel mereka yang bercita-cita untuk melaksanakan Islam sepenuhnya sebagai ekstremis. Sehingga hari ini Jeff Ooi terus dengan sifat bongkak dan angkuhnya enggan menuntut maaf atas kebiadapannya. Sehingga ke hari ini Jeff Ooi masih bebas, tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil terhadap keceluparan beliau. Mengapa Peguam Negara tidak bertindak tegas terhadap Jeff Ooi. Mengapa Jeff Ooi tidak dikenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan, mahupun Seksyen 298A Kanun Kesiksaan?

Mana dia suara para pejuang serban melilit dan Pak Janggut & Pak Keris, apabila dalam kes hukuman rotan terhadap Kartika Sri Dewi Syukarno, Majlis Peguam dengan angkuh memperlekeh hukum sebat bagi peminum arak beragama Islam. Kenyataan biadap Majlis Peguam, menghina hukum syara' dengan menyatakan hukuman sebat ini sebagai tidak berpeikemanusiaan dan zalim. Undang-undang Islam disamakan dengan hukuman barbarik. Tetapi Pak Serban dan Pak Janggut diam seribu bahasa.

Yang dihingar-bingarkan sikap kasar umat Islam semasa dialog dengan MB Selangor pada Sabtu 15 Ramadhan 1430/ 05 Sept 2009. Yang diperbesarkan kata-kata kesat dan biadap orang Melayu dalam dialog itu. Tetapi kenyataan wakil Hindu semasa dialog tersebut menghina azan dengan biadap menyatakan azan lima kali sehari adalah satu gangguan langsung tidak dipedulikan, malah tiada tindakan pun dikenakan. Mana pergi suara Pak Janggut dalam hal ini saya pun tak tahu! Apa tindakan Peguam Negara langsung tidak kedengaran!

Yang paling jelik, ada dikalangan Pak Janggut sanggup memutarbelit ayat Al Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Malah umat Islam Seksyen 23 dipersalahkan kerana tidak bersikap "adil" dalam membantah pembinaan kuil dikawasan kediaman mereka. Umat Islam dipaksa menerima perintah untuk kuil dibina dikawasan kediaman mereka, dan perintah itu dikatakan dibenarkan oleh Al Quran. Malahan umat Islam dikatakan berdosa kerana tidak mengikut Al Quran untuk membenarkan pembinaan kuil. Si Pak Janggut lupa awal-awal surah Al Quran ALLAH menceritakan tentang penyembelihan terhadap lembu yang menjadi sembahan manusia kufur.

Memang kita umat Islam disuruh berlaku 'adil, termasuk terhadap kafir dhimmi yang duduk tunduk dibawah pemerintahan Islam. Tetapi kita disuruh hanya berlaku 'adil dalam hal menjaga kebajikan mereka. Dalam soal ketuhanan, tidak timbul soal ke'adilan. Ini soal aqidah, bukan lagi soal wadah. Kita memelihara tempat 'ibadah mereka, bukan mengujudkan yang baru dicelah kediaman kita. Sultan Salahuddin Al Ayubi memelihara kesucian synagogue dan gereja yang sedia ada semasa membuka Kota Baitul Maqdis, bukan dengan membina kuil, tokong, gereja atau synagogue yang baru bersebelahan Masjidil Aqsa! Apa yang menghairankan, ,mengapa pulak umat Islam yang disuruh bertolak ansur. Mengapa langsung tiada suara dari Pak Janggut menasihatkan kaum Hindu supaya bertolak ansur. Seksyen 23 ada 337 keluarga, tidak sampai 40 beragama Hindu. Mengapa mereka tidak boleh bertolak ansur. Bukan kita menghalang mereka ber'ibadat. Masih banyak lagi kuil dan tempat 'ibadat yang mereka punyai.

Mengikut statistik, dalam negeri Selangor ada 4.3 juta penduduk. Daripada jumlah itu, majoritinya umat Islam sebanyak 2.5 juta dengan masjid hanya sebanyak 259 buah. Sebalik nya masyarakat Budha berjumlah 1.3 juta mempunyai 1,015 tokong. Kaum Hindu pulak, yang berjumlah 647,000 mempunyai 810 kuil berdaftar (ini tidak termasuk kuil yang haram dan tidak berdaftar!). Dan bagi 50,000 penganut Kristian di Selangor, cuba kira berapa jumlah gereja mereka! Malahan tuhan patung hindu yang terbesar didunia juga dok tersergam berdiri dalam negeri Selangor (ehsan daripada Kerajaan UMNo/ Be End dulu)! Itu pun umat Islam dikatakan masih tidak 'adil, masih tidak bertolak ansur!?

Semasa saudara kita umat Islam membeli rumah di Seksyen 23, langsung tiada dalam pelan akan dibina kuil Hindu yang besar disitu. Saya cukup yakin kalau umat Islam tahu akan dibina sebuah kuil Hindu dalam kawasan perumahan mereka, sudah pasti ianya akan mempengaruhi keuputusan mereka untuk melabur ratusan ribu membeli rumah disitu. Tidak ada umat Islam, jika diberi pilihan, mahu tinggal dikawasan yang ada kuil Hindu, tokong, gereja atau lain-lain, apatah lagi yang mega dan yang besar. Saya cukup yakin umat Islam Seksyen 23 memilih melabur ratusan ribu membeli rumah disitu kerana tiadanya kuil, tokong atau gereja besar disitu. Kalaulah mereka tahu akan dibina kuil hindu besar disitu, sudah tentu mereka tidak akan melabur ratusan ribu membeli rumah di Seksyen 23!

Tetapi hari ini kelihatan seolah-olah umat Islam di Seksyen 23 tiada hak langsung untuk bersuara, untuk hidup dalam keadaan aman harmoni, berdasarkan status quo mereka. Seolah-olah umat Islam yang bersalah kerana tidak berlaku 'adil, tidak mahu bertolak ansur untuk sebuah kuil besar dibina dikawasan kediaman mereka walaupun dalam pelan asal tidak ada pun ujud cadangan tapak pembinaan kuil. Malahan bantahan umat Islam diperlekehkan, dituduh tidak beradab, dihina sebagai golongan pelampau. Yang diperagungkan ialah kepala lembu!

Apabila melihat gambar lembu diatas, saya dapat bayangkan betapa lembu tersebut berasa aman damai kerana walaupun seekor, tetapi keselamatannya dijamin oleh anggota keselamatan yang lengkap bersenjata. Renungan tajam dan syahdu sang lembu jelas menujukkan keyakinan akan masa depannya di dalam negeri Selangor Darul Ehsan ini. Betapa dalam negeri Selangor ini, bukan sahaja keselamatannya terjamin, dia boleh pergi kedai runcit untuk order arak satu tong, dan pasti akan ada ahli mesyuarat kerajaan negeri yang akan mempertahankannya. Malahan akan ada Pak Janggut yang akan membaca ayat Quran untuk menjamin keselamatannya!

Itulah nasib umat Islam dalam negerinya sendiri. Lembu yang mereka maksudkan sebagai lambang kebodohan dan kelembuan seorang pemimpin, kini diputarbelitkan cerita sebagai menghina tuhan orang lain. Dan akhirnya, mereka disumbat kekandang dan diperlembukan!

Mungkin satu hari nanti tak lama lagi akan ada Pak Janggut memetik Quran dan hadis supaya umat Islam berlaku 'adil dan menasihatkan umat Islam supaya jangan baca lagi Surah Al Baqarah, demi menjaga hati pengikut tuhan lembu ini. Mungkin Peguam Negara akan mengenakan pertuduhan dibawah Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Kesiksaan kepada mereka yang membaca Surah Lembu ini!! Atau apakah nanti umat Islam tidak dibenarkan lagi menyembelih lembu sebagai qurban di 'Eidul Adha, kerana khuatir menyentuh perasaan kaum Hindu?!

Apalah nasib umat Islam, diperlembukan oleh kaum sendiri! Pak Janggut memaki Pak Keris, Pak Keris menempelak Pak Janggut, tapi yang akhirnya menjadi mangsa ialah umat Islam yang kerdil di Seksyen 23, yang hanya mampu melihat Pak Janggut dan Pak Keris bertelagah dan bertikam sesama sendiri. Gajah sama gajah bertandukan, lembu jugak yang menang!

Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Rabu 19 Ramadhan 1430 / 09



Komentar:
Ustaz Ilham Al-Khattat
Assalamualaikum, salam G-Had kepada Y.B, terlebih dahulu saya tertarik dengan tulisan Y.B yang begitu menyentuh semangat G-Had dalam saya. Saya menyokong tulisan Y.B yang saya sifatkan tepat dan berani,Sebagaimana Y.B kata, adalah sama sebagaimana kata-kata Dr Ridhuan Tee ( Pensyarah Kanan UPNM )Ummat Islam di Malaysia terlalu banyak bertolak ansur.

Sedangkan kita mengetahui, Malaysia adalah Daulah Islamiyyah ( Walaupun tidak syumul ) dan lebih dari 57 % penduduknya adalah beragama Islam, manakala lebihan lagi adalah agama selain Islam. Dengan angka majoriti 57 % tersebut menjadikan orang Islam adalah penguasa mutlak, ini berlandaskan sejarah Malaysia atau tanah melayu suatu ketika dahulu adalah negara yg menjadikan Islam sebagai landasan dalam pelaksanaan undang-undang. Namun pada hari ini, kita tidak ubah seperti menjadi bangsa yang terjajah dalam negara kita sendiri.

Sedikit demi sedikit, sehari demi sehari, hak ummat Islam, kuasa ummat Islam dikikis, dan jangan terkejut jika pada suatu masa nanti, kita akan menjadi bangsa yang dizalimi dan ditidakkan dalam menuntut hak keistimewaan kita.

Insiden kepala lembu sebenarnya suatu alamat kepada kita semua, bangsa lain sudah mula menunjukkan kehebatan mereka, memandangkan sebahagian mereka kini mengawal kekuatan ekonomi, dan beberapa penjuru lagi mereka menjadi empunya dalam keputusan.

Tindakan yang wajar sebagai seorang ummat, kita perlu berani dan tegas dalam mempertahankan hak kita, Islam kita, dari difitnah. Bangsa lain sudah mula naik kepala.

Terkedu saya tatkala membaca ayat Y.B orang yang mempertahankan hak mereka digari, diletak dalam kandang sebagaimana lembu, di manakah keadilan? Di mana pegangan kita terhadap firman Allah " apabila kamu berhukum sesama manusia maka jatuhkanlah hukuman seadil-adilnya" seolah-olah petunjuk al-Quran sudah dikebelakangkan. Ditidakkan.

Justeru, saya mengajak kepada Y.B dan semua pembaca sekalian, kita tiupkan roh G-Had, jangan takut atau gentar, seandainya kita tidak bangkit sekarang, maka ummat Islam akan terus dihina di bumi Malaysia bumi Islam itu sendiri.