Thursday, 23 December 2010

Pewaris nafi punca kuil sesak - petikan Malaysiakini




JAWAPAN KEPADA LAPORAN MALAYSIAKINI KUIL SEKSYEN 19:

PENDUDUK NAFI TAPAK GELANGGANG PUNCA SEKITAR KUIL SESAK :


Penduduk ingin mengulas laporan yang disiarkan dalam Malaysiakini pada 07/09/2009. Pengerusi kuil Mahamariamman Seksyen 19 mendakwa tapak gelanggang menjadi punca sesak kerana parkir mereka masuk kedalam kawasan gelanggang yang dibina oleh pihak NGO pada 10/01/2009. Penduduk bersetuju dengan jawapan diberikan oleh pihak Pewaris. Jika kawasan itu tidak dipagar oleh pihak NGO maka banyak kawasan tanah PKNS yang akan diceroboh lagi. Penduduk akur jika tapak gelanggang itu hendak diambil balik oleh pihak PKNS untuk mendirikan rumah teres sebanyak 16 unit yang telah tergendala selama 22 tahun. Kedudukan kuil yang sudah diubahsuai dan dibesarkan dibuat terlalu hampir dengan rumah penduduk Islam hanya dipisahkan oleh jalan raya sahaja. Oleh sebab itu aktiviti kuil biasanya bising terutama pada hari diadakan keramaian telah mengganggu ketenteraman awam penduduk sekitar yang majoritinya masyarakat Islam.

Saturday, 18 December 2010

Persolan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris & Undang DS dan BN

www.khalidsamad.com


Saturday, January 10, 2009 

Persoalan Kuil di Sek 19 dan Tindakan Pewaris 


Kerajaan BN telah meninggalkan banyak perkara yang perlu diperbetulkan oleh kerajaan PR selepas kami mengambil alih. Selain dari penyelewengan dan salah guna kuasa yang menjadi bagaikan ‘signiature’ BN, terdapat juga persoalan projek-projek terbengkalai, projek-projek di lereng bukit yang tidak patut diluluskan tetapi diluluskan, penduduk rumah setinggan, kemiskinan bandar dan ‘lain-lain’. Di antara yang ‘lain-lain’ itu adalah persoalan kuil-kuil yang bertaburan yang telah tidak diurus dengan baik apatah lagi bertanggung jawab oleh BN.


Kebanyakan dari kuil-kuil ini merupakan kuil yang telah dibina semasa tempat berkenaan merupakan estet getah pada tahun-tahun sebelum Malaya merdeka. Apabila estet itu diambil-alih untuk dijadikan kawasan perumahan, pada tahun-tahun selepas merdeka, pekerja-pekerja ladang dipindahkan tetapi kuil mereka dibiarkan di tempat asal. Ianya tidak dipindahkan bersama penduduknya. Akhirnya penduduk asal terus mengunjungi kuil tersebut sambil kawasan persekitaran dibangunkan. Kuil mereka juga terus dibangunkan mereka.


Kesudahannya adalah seperti apa yang terdapat di Seksyen 19, Shah Alam! Rumah-rumah yang didiami orang Melayu berhampiran dan berhadapan kuil. Keadaan ini lebih merumitkan apabila penduduk memberitahu bahawa semasa membeli rumah-rumah mereka, PKNS telah menjamin bahawa kuil berkenaan tidak akan lagi berada disitu apabila rumah mereka siap. Namun, di bawah BN, janji seperti biasa tinggal sebagai janji. Masalah ini telah wujud selama 20 tahun lebih dan apabila PR mengambil alih, kami terpaksa menyelesaikan masalah yang diwujudkan BN ini. BN hanya pandai menimbulkan masalah tetapi buntu untuk mencari penyelesaian.


Dasar kerajaan PR adalah mudah. Pertama, kuil-kuil yang lama ini perlu dipindahkan ke satu tempat yang lebih sesuai. Tempat perlu dikenal pasti oleh PBT dan semestinya dipersetujui oleh pengguna kuil berkenaan. PBT perlu mengambil kira segala permasalahan yang akan dihadapi oleh pengguna kuil hasil dari pemindahan tersebut. Sambil itu, pembinaan kuil baru, selain dari hasil perpindahan, juga dihentikan.
Pada Khamis 8hb Januari, sambil saya menghadiri mesyuarat berhubung penduduk Rimba Jaya yang telah dirobohkan rumah-rumah mereka oleh kerajaan BN (masalah yang diwarisi lagi!), saya mendapat maklumat dari seorang penduduk Melayu Seksyen 19 bahawa ada sekumpulan Melayu telah datang untuk menimbulkan ketegangan di kuil tersebut. Selepas mesyuarat berkenaan saya bergegas ke sana dan mendapati sekumpulan orang, kebanyakan mereka orang luar, berkumpul berhampiran kuil tersebut. Mereka ingin membina ‘gelanggang silat’ di tepi kuil dan akan mengadakan kenduri untuk merasmikan pembukaan gelanggang tersebut pada hari Sabtu 10hb ini. Untuk kenduri itu mereka akan tumbangkan 2 ekor lembu! Seterusnya mereka akan menjamu penduduk dan orang ramai di depan kuil berkenaan. Gelanggang mereka akan dibina tanpa membuat apa-apa permohonan kepada phak berkuasa kerana kata mereka, kuil tersebut juga tidak mendapat kebenaran!


Orang yang mengetuai kumpulan tersebut datangnya dari Melaka! Dia menyatakan dia ‘mewakili rakyat’ dan tindakan ini terpaksa mereka ambil melalui persatuan NGO mereka yang bernama ‘PEWARIS’ kerana kerajaan PR masih berhoneymoon. Dia berkata penduduk sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan dan oleh itu penduduk memanggil mereka turun. Amat jelas, soal gelanggang silat dan sebagainya hanya satu helah. Sebenarnya mereka mahu provoke pihak kuil berkenaan.


Saya menyatakan 'wakil rakyat' di sini adalah saya, bukan dia (mungkin dia ingat dia masih di Melaka). Sekiranya dia ingin mewakili rakyat, dia patut turun bertanding dalam PRU yang akan datang. Saya juga memberitahunya bahawa yang ‘berhoneymoon’ selama 50 tahun adalah BN! Saya menjelaskan bahawa pihak kerajaan sedang menguruskan perkara ini dan kita harus diberi masa. Kalau BN tak dapat buat apa-apa dalam tempoh 20 tahun lebih, semenjak rumah-rumah mula didiami, takkanlah saya tidak boleh diberi tempoh setahun, kata saya lagi. Malahan, tambah saya, pada bulan 5 atau 6 tahun lepas, saya telah bertemu dengan penduduk di dewan Masjid Sek. 19 dan berbincang dengan mereka dan memohon tempoh setahun. Mereka telah bersetuju.


Orang Melaka ini terus menuduh bahawa PR mendiamkan diri bila orang India membina kuil-kuil baru di merata Shah Alam. Saya nyatakan tiada kuil baru dibina dan dia gelakkan saya. Saya beritahu dia, “tunjuk saya di mana kalau kamu bercakap benar!” Dia pun terus ke keretanya, minta saya ikut di belakang sambil dengan penuh keyakinan mengatakan, “mari, saya tunjuk awak”! Maka saya mengekorinya; hai orang Melaka ini yang menganggap dirinya lebih tahu Shah Alam dari orang Shah Alam. Akhirnya dia bawa saya ke sebuah kuil di tepi landasan keretapi di Seksyen 15. Saya beritahu dia kuil itu telah ada di situ “sebelum kamu dilahirkan ke dunia ini”. Dia diam dan terus kembali ke kuil Seksyen 19.


Tidak puas hati lagi dia mencabar saya sebaik sahaja kita sampai di Seksyen 19, “awak orang Melayu, orang Islam, kenapa awak sibuk sangat nak membela kuil ini”? Saya jawab, “kerana Islam mengajar saya supaya bertindak adil terhadap semua manusia. Mereka, walaupun bukan Islam, ada hak dan Islam menuntut kita menghormati hak mereka”. Dia diam. Seterusnya dia berkata dia tak tahu sangat soal agama ini.Saya menambah lagi, "kita marah bila Israel mengasari ummat Islam di Gaza, jangan kita pula mengikut perangai Israel".


Melihat dia mula teragak-agak saya pun menyatakan bahawa saya tahu Pewaris dan Pekida adalah NGO yang adik beradik. Penaung Pekida adalah PM maka semestinya begitu juga Pewaris. Kedua-dua NGO ini dikuasai oleh ahli UMNO. Saya tahu juga bahawa tindakan mereka ini, pada masa ini, ada hubung kait dengan PR kecil KT. Mereka ingin menimbulkan ketegangan dan masalah kaum supaya dengan itu mereka boleh menjaja keseluruh negara bahawa PR telah gagal menyelesaikan masalah ini di Selangor; dan Selangor sekarang ada masalah perkauman. Dia diam dan selepas itu dia menegur saya kerana buruk sangka, tetapi dia tidak menafikannya.

Dengan itu saya berundur. Saya memberitahu pegawai Polis dan juga pihak penguatkuasa MBSA yang berada di sana bahawa ini tugas mereka. Mereka kena menjaga keselamatan dan keamanan. Saya difahamkan walaupun gelanggang tidak dibina, namun mereka ingin teruskan kenduri mereka. Mereka kata mereka akan menjemput saya sekali. Saya jawab, ikut undang-undang. Kalau pembinaan gelanggang dapat kelulusan MBSA, saya datang.


Kalau tidak, program Aman Palestine di stadium Melawati pada 10hb jam 10 pagi adalah tempat yang lebih afdal bagi saya untuk hadir, begitu juga dia!
WalLahu ‘Alam

NOTA PENTING: Minta disebarkan perkara ini kerana dijangka provokasi yang sedemikian rupa akan digunakan lebih kerap lagi menjelang PRK-KT, maka harus sentiasa berwaspada. Jangan kita terpedaya!

Posted by Khalid Samad at 3:26 AM Labels: Islam, Selangor, Shah Alam




-----------------------------------------------------------------------------



www.khalidsamad.com
Monday, January 12, 2009

Undang-Undang DS atau BN


Undang-undang Double Standard atau Barisan Nasional - Candle Light Vigil di Kuala Lumpur vs 'Silat' Pewaris di Shah Alam. Kita sebenarnya sudah naik jemu dengan telatah/perangai BN yang mengamalkan dasar double standard. Rakyat pun begitu. Ini adalah di antara sebab BN mengalami prestasi yang teruk pada PRU ke 12 Mac lalu. Namun, BN masih tidak (mahu) faham.

Semalam, sekumpulan penunjuk perasaan yang mengadakan ‘candle-light vigil’ di dataran Merdeka Kuala Lumpur telah disuraikan oleh pihak polis. Dari jumlah lebih kurang 200 orang 21 dari mereka telah ditahan, walaupun hanya untuk beberapa jam, oleh pihak polis. Yang ditahan termasuklah beberapa YB, iaitu Charles Santiago (Klang), Abdullah Sani (Kuala langat), Dr. Nasir (Kota Damansara) dan beberapa aktivis dari GMI, SUARAM dan sebagainya. Candle-light vigil ini tiada benda sebenarnya, bukan mereka nak bakar bandar KL dengan lilin-lilin mereka! Mereka hanya memegang lilin yang bernyala secara beramai-ramai dengan tujuan membantah keganasan yang berlaku di Gaza, Palestine. Mereka juga membantah peperangan dan keganasan di Sri Lanka.

Tindakan bantahan secara aman damai ini bagaimanapun telah disuraikan polis. Ianya menimbulkan persoalan apa tujuan kerajaan BN sebenarnya? Kerajaan BN menyatakan mereka membantah tindakan Israel, tetapi pogram rakyat yang membantah keganasan Israel disuraikan polis! Mereka akan menggunakan alasan isu Sri Lanka yang dibangkitkan tetapi itu hanya alasan. Tidakkah secara prinsip kita mesti membantah keganasan terhadap rakyat jelata walau di mana sekalipun ianya berlaku? Rakyat yang tidak bersenjata dan tiada kemampuan untuk melindungi diri tidak harus dibenarkan menjadi mangsa peperangan.
Mungkin pihak BN menganggap isu Gaza dan Palestine adalah isu orang Islam/Melayu sahaja. Mereka tidak senang melihat bantahan oleh rakyat yang bukan Islam. Sekiranya itulah alasan mereka maka mereka memang jahil tentang Palestine. Penduduk Palestine bukan orang Islam sahaja. Ramai penduduk Gaza terdiri dari orang Kristian. Malahan ada ahli dan penyokong HAMAS yang merupakan penganut agama Kristian.
Mungkin UMNO dalam isu ini ingin menggunakan dasar ‘divide and rule’. Mereka tak senang melihat orang berbilang agama dan berbilang kaum bersatu atas isu yang seperti ini. Mereka hanya inginkan orang Melayu Islam sahaja bersatu supaya mereka boleh berkata kepada PAS, “lihat, kita ada banyak persamaan, marilah kita bersatu”.

Ini jugalah seruan Pewaris. Kumpulan yang datang untuk menimbulkan provokasi di Seksyen 19 Shah Alam. Mereka seolah-olah menyeru orang Melayu/Islam bersatu untuk menekan kaum India supaya orang India akan memindahkan kuil mereka kepada mana sahaja yang ditentukan oleh pihak MBSA. Walau ke ceruk mana. “Melayu bersatu! Melayu bersatu!” laungan mereka. Bersatu untuk ke mana? Ke landasan rasuah, penipuan dan penyelewengan yang telah disediakan selama ini oleh UMNO? Tak payah lah. Landasan kita adalah Islam dan kalau tak berapa tahu Islam, mengajilah. Datang kuliyah agama ataupun ceramah PAS, insyaAllah, semuanya akan jelas.

Tetapi yang anehnya tindakan provokasi mereka langsung tidak dihalang. Polis ada tetapi hanya melihat. Terkenang pula kita peristiwa Ahmad Ismail Penang dulu. Dia yang mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman dan hasutan, Teresa Kok dan RPK yang ditahan ISA! Inilah double standard kerajaan BN yang akan hanya menambahkan meluatnya rakyat terhadap mereka. Ini menimbulkan banyak persoalan. Adakah pihak polis bersetuju dengan tindakan Pewaris? Adakah Pewaris mempunyai pelindung sehingga polis tidak bertindak walaupun kegiatan Pewaris jelas provokasi? Adakah provokasi dan ketegangan kaum yang mereka inginkan? Jawapan kepada persoalan ini hanya mampu dijawab oleh saudara semua, mengikut penilaian dan kebijaksanaan masing-masing. Yang jelas ada double standard! Yang lagi jelas, double standard ini tidak akan berakhir selagi BN memerintah.

Bagi penghuni Seksyen 19, khususnya yang rumah mereka seberang jalan kuil berkenaan, bersabarlah. Pihak kuil sudah bersetuju untuk berpindah hanya ‘kita’ sahaja yang belum memberikan mereka tempat alternatif yang boleh diterima oleh mereka. Sambil menunggu mereka tidak dibenarkan membuat apa-apa pembinaan di kuil tersebut, sehingga bumbung mereka terus merupakan trampolin (kanvas) yang ditembusi hujan bila ianya hujan. Tandas mereka bagaikan pondok usang yang akan roboh pada bila-bila masa. Isu penempatan baru kuil ini akan diselesaikan tak lama lagi, insyaAllah. Pada bulan 10 selepas Raya kita telah berbincang dengan semua pihak. Sepatutnya dah ada keputusan sbelum ini. Malangnya Dato’ Bandar ke luar negara dan seterusnya mengikuti kursus. Hanya baru-baru ini dapat bertemu kembali.

Sebelum datangnya gerombolan Pewaris kami telah bermesyuarat. Ada beberapa tapak yang dicadangkan. Pihak kuil akan menziarahi tapak-tapak ini sebelum memberi kata putus. Harap-harap boleh selesai dengan baik. Sekiranya dapat selesai, maka ianya akan merupakan kejayaan besar kerajaan PR. Sedangkan UMNO/BN hanya pandai menimbulkan masalah. Seperti Pewaris. Mereka ingin mengusir kuil tersebut. Soalnya, ke mana? Mereka tak tahu dan mereka tak kisah. Tetapi, itu bukan cara kita menyelesaikan masalah, itu hanya menambahkan masalah.

WalLahu 'Alam

Posted by Khalid Samad at 5:35 PM Labels: BN, Islam, PR, Shah Alam, UMNO





Friday, 17 December 2010

Penduduk jawab surat AP Shah Alam Persoalan Kuil di Sek 19 dan kenapa mohon bantuan NGO


Pencerobohan diatas tanah milik PKNS di Seksyen 19 Shah Alam

Tarikh : Hari Ahad - 21hb. Disember 2008

Gambar-gambar video dibawah ini telah dirakamkam dikawasan kuil Seksyen 19 Shah Alam pada hari Ahad 21/12/2008. Pada hari itu ada majlis perkahwinan sedang berlangsung di Jalan Ladung 19/28. Pada sebelah pagi kelihatan orang-orang kanan kuil berada di kawasan itu. Gambar-gambar video dibawah ini telah dirakamkan pada jam 2.00 petang. Ketika itu kerja-kerja ubahsuai sedang dibuat oleh seoarang pekerja Indonesia dan seorang India. Mereka kelihatan tidak mempedulikan orang ramai yang berkunjung ke majlis perkahwinan itu memerhatikan mereka yang sedang membuat kerja-kerja membesarkan kuil haram di situ yang pastinya tidak mendapat kelulusan pihak PBT. Sejak bulan Oktober 2008 hampir setiap minggu kelihatan ada-ada sahaja kerja-kerja tambahan yang mereke buat di kawasan kuil itu.

Info rakaman video sekitar kuil haram Seksyen 19 :
Info 1 - Gambar rakaman kerja-kerja ubahsuai yang sedang dibuat dikawasan kuil yang dibuat oleh seorang pekerja India dan seorang pekerja Indonesia. Kawasan sekitar kuil besar dan kuil kecil juga kelihatan dalam rakaman itu.



Info 2 - Gambar belakang dapur sebuah rumah di Jalan 19/29 yang telah diconteng dengan cat dan ditulis besar dengan angka kumpulan 303. Papan tanda Jalan 19/29 juga telah disembur dengan cat putih yang juga ditulis angka 303. Kawasan ditepi rumah itu sering menjadi tempat melepak pemuda-pemuda India yang bising, minum dan mabuk. Kenapa mereka begitu berani ganggu dikawasan majoriti Islam? Gangguan menjadi kronik mulai Julai - Disember 2008.



Info 3 - Gambar menunjukkan seorang pekerja Indonesia yang sedang membuat kerja ubahsuai dikuil. Ubahsuai besarkan bilik kuil dibuat pada 14/12/2008. Pada 21/12/2008 kerja ubahsuai disambung lagi. Walaupun sudah ada notis larangan ceroboh tanah disitu, mereka tidak peduli.





Info 4 - Kawasan hijau yang dicadang oleh Persatuan penduduk untuk dijadiakan Taman Komuniti pada tahun 2000.



Info 5 – Gambar rakaman itu menunjukkan tandas yang dibuat di bawah pokok dikawasan terbuka mencemarkan pemandangan penduduk. Kawasan tempat rehat pengunjung kuil dan kawasan longgokan sampah yang biasanya bertimbun selepas keramaian diadakan dibuang berdekatan dengan tandas itu.


Info 6 - Gambar botol-botol arak yang bersepah berhampiran kawasan rumah yang di conteng 303. Kawasan yang dipenuhi botol arak itu masuk kedalam kawasan gelanggang yang dibina pihak NGO pada 10/1/2009. Penduduk telah membersihakan dan mengugtip semua botol arak yang bersepah semasa bergotong royong membersihkan gelanggang.

Penduduk berharap kuil itu akan dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai kerana tapak tanah milik PKNS itu sepatutnya didirikan rumah teres 2 tingkat sebanyak 16 unit. Gangguan bising pengunjung kuil sering mengganggu ketenteraman kawasan penduduk tempatan. Penduduk Islam Seksyen 19, Shah Alam.


2) ADUAN 2 - PENDUDUK BENGKEK Merujuk kepada komen YB Khalid Samad

“Memang perjumpaan YB dengan penduduk telah diadakan di dewan Masjid Seksyen 19, malah perjumpaan penduduk bersama AJK kuil pun telah diadakan pada 12/8/2008. Di mana, beberapa rumusan telah dibuat dari pertemuan tersebut sementara janji YB untuk memindahkan kuil tersebut dalam masa satu tahun memerintah seperti :-

1) TIDAK TERUS MEMBUAT PEMBINAAN TAMBAHAN DAN PEMBESARAN KUIL YANG AKAN DIPINDAHKAN.
2) TIDAK MENGGUNAKAN PEMBESAR SUARA SEBAB 100% PENDUDUK PERSEKITARAN ADALAH BERAGAMA ISLAM. 
3) JANGAN BUAT BISING SEMASA GUNA KUIL.
4) JANGAN GANGGU PENDUDUK DENGAN UGUTAN OLEH MANA-MANA PIHAK ATAU KUMPULAN SAMSENG YANG TERLIBAT.
5) TIDAK GANGGU LALU LINTAS SERTA LETAK KERETA PENDUDUK.
6) BENDERA PAKATAN RAKYAT DAN BENDERA PAS MINTA DIALIH DARI KUIL. 


 Malangnya Nazir Masjid telah dihubungi pihak AJK kuil menyatakan :

1) “KITA TAK BOLEH PINDAH, TEMPAT TAK SESUAI TAK ADA ORANG DUDUK SANA DAN TEPI SUNGAI.”
2) “KITA TAK MAU PINDAH TAPI KITA AKAN BUAT TEMBOK TINGGI KELILING KUIL SUPAYA ORANG TAK NAMPAK”
3) “KITA AKAN BUAT JALAN MASUK IKUT SEBELAH PADANG JOGING. 


Sejak Kerajaan pakatan rakyat memerintah, aktiviti kuil semakin rancak:

1) TIAP-TIAP HARI RAMAI ORANG LUAR BERKUMPUL SEMBAHYANG DIIRINGI TROMPET SERTA GENDANG BERKUMANDANG DARI PUKUL 7.00 PETANG HINGGA 11.00 TENGAH MALAM. 
2) BEBERAPA UGUTAN BUNUH TERHADAP PENDUDUK TELAH BERLAKU. ADA PENDUDUK DIUGUT DENGAN MELETAK PARANG DI GATE RUMAH. 3) AHLI PENDUDUK NAK BUAT KENDURI TAHLIL PUN KENA BAYAR DUIT PERLINDUNGAN DNGAN PIHAK SAMSENG KUIL WALAUPUN PENDUDUK INDIA DI PERSEKITARAN KUIL HANYA LIMA KELUARGA SAJA. 
4) KEGIATAN SAMSENG 303 SEMAKIN RANCAK MABUK-MABUK DAN BERKUMPUL DI KAWASAN KUIL SERTA RUMAH PENDUDUK DICONTENG 303. PAPAN TANDA JALAN DICONTENG 303 SEBAGAI TANDA MARKAS. KELENGKAPAN DAPUR PENDUDUK JUGA DICURI, PANTANG NAMPAK LETAK DI LUAR MESTI KENA CURI. 5) KAMI KHUATIR SAMSENG 303 AKAN MEMBAKAR RUMAH PENDUDUK YANG BERANI MEMBANTAH PERBUATAN MEREKA SEPERTI YANG TELAH BERLAKU PADA 25/3/1994 YANG LALU.
# Aduan penduduk kepada PBT tidak dihiraukan sebab tangan mereka pun terikat. Aduan Polis pernah dibuat, mereka datang sekadar tengok saja sebab jenayah tak serius.
1) Pembinaan dan pembesaran kuil terus rancak berlaku.
2) Pembesar suara tetap rancak digunakan dengan kuat .
3) Bunyi bising tetap rancak sambil semua bertepuk tangan.
4) Bunyi-bunyian special lagi diada-adakan menandakan tuhan mereka datang.
5) Kata-kata kesat turut diucapkan, mereka kata ‘MELAYU BODOH’, orang mahu sembahyang.
6) Aduan dibuat kepada pembantu wakil rakyat tetapi jawapannya : “ MELAYU-MELAYU NI
MENGADA-NGADA AJE”.
7) Aduan kepada pihak polis jawapannya ‘kami tidak boleh buat apa-apa kalau tidak melibatkan jenayah berat laporan pun lambat.”

Tindakan dari ahli penduduk memasang ayat al-Quran dengan kuat sedikit sebanyak melegakan penderitaan dan tekanan yang selama 20 tahun yang sebelum ini, mereka hanya mendengar trompet, tabla, mentera-mentera serta bau yang tidak menyenangkan. Hasil daripada tindakan ini kumpulan India seramai 15-20 orang telah berkumpul di depan rumahnya. Tetapi dengan berkat al-Quran mereka bersurai sendiri.

Kalau dilihat nasib penduduk disini amat malang kerana sekarang kadok dah naik junjung. Mengharap pemimpin Melayu dan Islam yang ada pun dah diinjak-injak.
# Masing-masing nak selamatkan diri sendiri dan ada kepentingan. Memanglah sedih kalau dah ada pemimpin Islam mengatakan kami penduduk Seksyen 19 YAHUDI ISRAEL. Amat kecewa kami rasakan apabila saudara seIslam melabelkan kami Yahudi di hadapan orang yang bukan beragama Islam. Tentunya mereka ketawa tanda kemenangan apabila saudara seIslam bergaduh sesama sendiri demi kepentingan peribadi.

Jadi memang wajar bagi kami Penduduk-penduduk mengadakan tempat bagi aktiviti sihat seperti gelanggang silat, gasing dan lain-lain. Sebab ini boleh mendidik jati diri kepada remaja-remaja yang bakal menjadi pemimpin di masa akan datang serta bagi menghidupkan suasana kampung di taman-taman dalam bandar di kawasan Seksyen 19 yang boleh mengeratkan hubungan silaturahim di antara penduduk serta taman-taman berhampiran di samping memantau budaya melepak dan minum arak sehingga lewat pagi yang ditiru oleh remaja-remaja setempat yang terdiri dari bangsa Melayu dan Islam serta mengawasi anasir-anasir luar yang menjadi perosak kepada agama, bangsa dan negara serta budaya, di samping bagi menebus maruah pemimpin bangsa yang tergadai. ALLAHHUAKBAR.

3) ADUAN 3 - Penduduk Islam Seksyen 19 Shah Alam.
12hb. Januari, 2009 


SURAT TERBUKA KEPADA YB KHALID SAMAD DAN PEWARIS.

Persoalan Kuil Seksyen 19 Dan Kenapa Penduduk Mohon Bantuan NGO
Kami penduduk Seksyen 19 merasa terpanggil untuk menjawab surat yang disiarkan dalam blog YB Khalid Samad bertarikh 10hb. Januari 2009. Penduduk sekitar tidak terlibat langsung membuat provokasi menjelang PRK-KT. Tidak ada penduduk disini yang aktif dalam mana-mana parti pun.

2. Semasa kami memilih untuk membeli rumah di sini kami mahukan kawasan kediaman kami yang aman damai dan harmoni. Tetapi, apa yang kami harapkan belum menjadi kenyataan. Kami terpaksa menerima suratan takdir, namun kami tidak putus asa terus berusaha walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan untuk mengatasi masalah-masalah di kawasan kami.

3. Semasa penduduk membeli rumah di sini pada tahun 1987, pihak PKNS telah berjanji kepada penduduk kuil kecil dan usang akan dipindahkan. Kawasan itu berpaya apabila hujan lebat akan ditenggelami air. Dalam peta Seksyen 19, kawasan itu adalah tapak rumah teres 2 tingkat sebanyak 16 unit. Semasa Tan Sri Muhammad bin Mohd Taib menjadi Menteri Besar Selangor, beliau tidak membenarkan sebarang aktiviti dijalankan di kuil itu hingga ia dipindahkan. Namun begitu, pada hari-hari tertentu, penduduk setinggan masih datang menggunakan kuil itu. Tidak ada bekalan air dan elektrik di situ. Tetapi selepas menunggu sepuluh tahun kuil itu masih tidak dipindahkan lagi, rumah sebanyak 16 unit masih tidak didirikan. Menteri Besar Selangor juga sudah bertukar.

4. Masalah gangguan bising dan pembesaran bermula pada tahun 1999 apabila ramai penduduk India berpindah dari Seksyen 16 ke kawasan perumahan baru di Seksyen 20. Mereka telah datang beramai-ramai mengaktifkan kuil di Seksyen 19. Pada masa itu, di kawasan kami hanya ada sebuah keluarga India sahaja yang tinggal berdekatan kuil. Tetapi kini, keluarga itu sudah pun berpindah. Aduan gangguan bising di kuil mengganggu penduduk terutama apabila keramaian diadakan. Kuil sudah mula diubahsuai sedikit demi sedikit setiap kali keramaian hendak diadakan. Penduduk telah membuat aduan kepada YB ADUN, MPSA dan PKNS. Apabila aduan dibuat, penguatkuasa akan dihantar membuat rondaan dan biasanya mereka akan datang mengambil gambar kuil sahaja. Pada bulan September 2000, 6 orang wakil penduduk telah berjumpa YDP Datuk Emran Kadir dan ADUN Datuk Ahmad Nawawi di bangunan MPSA. YDP berjanji akan menyelesaikan masalah penduduk, tetapi beliau memberitahu adanya campur tangan Pemimpin MIC telah menyebabkan masalah kuil sering tertangguh. Pada Oktober 2000 Shah Alam jadi Bandaraya.

5. Pada 11.8.2000 Pengerusi dan Setiausaha Persatuan Penduduk telah mengadakan perjumpaan dengan ADUN Datuk Ahmad Nawawi membuat permohonan agar kawasan paya dan kawasan terbiar semak di sepanjang Jalan 19/24 A hingga Jalan 19/25 dan 19/28 hingga ke komuter dijadikan taman, kawasan rekreasi beserta gazebo dan jogging track. Kesesakan lalu lintas di persimpangan sekolah amat kritikal di waktu pagi dan petang. Jadi, penduduk mahukan ada jalan baru dibuat dari persimpangan Jalan 19/28 hingga ke komuter. Namun begitu, kawasan rekreasi yang dicadangkan yang mendapat sokongan bekas ADUN Datuk Ahamd Nawawi pada 15.11.2000 belum menjadi kenyataan. Tetapi kuil pula yang telah dibesarkan tanpa pelan dan permit dari PBT. Penduduk membuat aduan dan beberapa perjumpaan dengan pihak atasan telah dibuat. Salepas aduan dibuat, kuil akan mengurangkan aktiviti mereka. Tetapi tidak lama salepas itu, mereka akan buat semula gangguan bising di situ. Begitulah yang sering dihadapi oleh penduduk yang tinggal berdekatan. Aduan terpaksa dibuat berterusan kerana gangguan bising.

6. Pada tahun 2003 Pengerusi Persatuan Penduduk telah menerima salinan surat arahan pindah kuil Seksyen 19 ke kawasan kuil berkelompok di Seksyen 18. Tetapi apa yang berlaku? Kuil tidak berpindah tetapi bekalan elektrik pula yang dimasukkan. Penduduk melihat mereka membuat penyambungan haram air untuk kegunaan kuil. Penduduk beramai-ramai telah membuat aduan kepada JBA dan bekalan air telah dipotong. Apabila penduduk bertanya kepada MBSA kenapa kuil tidak berpindah? Jawapan yang diterima ialah tunggu arahan SUK. Kami juga diberitahu pihak kuil telah menolak untuk berpindah ke Seksyen 18 kerana mereka pengikut Mahamariaman sedangkan di Seksyen 18 adalah pengikut Mariappan. Pada tahun 2005 apabila penduduk setinggan dipindahkan penduduk berharap kuil itu akan dipindahkan juga. Tetapi tidak berlaku.

7. Pada tahun 2006 kuil semakin aktif digunakan apabila bekalan air dimasukkan pada bulan Jun 2006. Ubahsuai disitu bertambah rancak. Persatuan penduduk mengambil keputusan untuk membuat aduan kepada DYMM Sultan Selangor pada bulan Julai 2006. Aduan telah disampaikan kepada Sultan melalui salah seorang Adun dari luar kawasan Shah Alam. Salinan aduan telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor, Adun Batu 3, Datuk Bandar Shah Alam dan Pihak PKNS. Apabila penduduk menghantar aduan kepada Sultan Selangor ramai penguatkuasa telah dihantar untuk berunding dengan pihak kuil. Ramai pegawai-pegawai yang turun padang. Selama dua minggu setiap hari ada rondaan daripada MBSA. Pada bulan Ogos 2006, papan tanda telah dipasang di Jalan 19/24 dan 19/25 “TANAH MILIK PKNS - PENCEROBOH AKAN DIDAKWA.” Tetapi pihak kuil tidak peduli pun larangan itu. Mereka terus juga buat ubahsuai membesarkan kuil pada hari cuti dan waktu malam untuk mengelakkan penduduk mengadu kepada MBSA. Kenapa mereka dibiarkan terus menceroboh? Kenapa tidak ada sebarang tindakan dikenakan kepada mereka kerana menceroboh? Kalau penduduk membuat sedikit ubahsuai rumah kenapa cepat sangat penguatkuasa sampai bertanyakan pelan dan permit. Mereka yang menceroboh di kuil itu tidak pula perlukan permit dan pelan dari PBT. Kuil telah dibiarkan membesar dan aktif di kawasan yang majoritinya penduduk Islam. Jika benar akan pindah kenapa buat ubahsuai?

8. Pada bulan September 2006 semasa perjumpaan dengan ADUN Batu 3 penduduk diberitahu kuil akan dipindahkan. Mereka telah ditawarkan tempat di Seksyen 23 tetapi mereka menolak. Pada bulan Oktober seramai tujuh orang wakil penduduk berjumpa dengan Menteri Besar Selangor mohon agar kuil segera dipindahkan kerana gangguan bising dan banyak masalah sampingan yang berlaku. Pada bulan November 2006 penduduk menerima maklumat daripada PKNS iaitu peguam PKNS telah mengeluarkan arahan kuil akan dipindahkan sebelum 30hb November 2006. Apabila kami menghubungi pihak MBSA mereka telah mengesahkan perkara ini. Tetapi kuil tidak juga pindah salepas tarikh itu, tandas pula yang mereka buat di bawah pokok. Jadi di mana ketegasan pihak berkuasa? Apabila penduduk bertanya MBSA pelbagai jawapan diberikan iaitu adanya campur tangan politik, tunggu arahan SUK. Bila kami tanya PKNS akan salahkan MBSA, tetapi bila kami tanya MBSA mereka salahkan PKNS yang bersikap lepas tangan. Sampai bila kami harus bersabar?

9. Sudah masuk tahun ke 20 kuil masih lagi disitu. Pada bulan March dan April 2007 kakitangan PKNS telah datang menyukat kawasan kuil. Penduduk telah dimaklumakan kuil akan dipindahkan kerana projek rumah yang tergendala sebanyak 16 unit akan didirikan. Tetapi selepas itu tiada pun kerja-kerja dimulakan. Pada masa yang sama pihak kuil terus aktif, banyak barang dibawa masuk dan lampu-lampu dipasang. Keramaian yang bising telah diadakan pada 27hb Julai hingga 29hb Julai 2007. Penduduk terpaksa menghantar bantahan lagi. Apabila aduan dihantar kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri barulah kerja-kerja ubahsuai diberhentikan tetapi aktiviti mereka di kuil terus berjalan seperti biasa.

10. Aduan terus dibuat berterusan akhirnya pada 29hb December 2007 penduduk telah menerima jawapan kuil akan dipindahkan ke Seksyen 22. Kerajaan Barisan Nasional digantikan dengan Pakatan Rakyat pada bulan March 2008. Pada bulan April 2008 penduduk telah menerima jawapan pemindahan ditangguhkan pula. Penduduk mohon bantuan daripada kerajaan baru.

11. Pada bulan April 2008 pihak kuil telah memasang bendera Parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat di kiri dan kanan papan tanda notis larangan menceroboh disitu. Aduan telah dibuat tetapi tiada tindakan pun untuk menurunkan bendera itu. Wajarkah bendera sebuah parti Islam dikibarkan di kawasan kuil? Apa yang menyedihkan kami ialah apabila ada penduduk yang bertanya kenapa bendera dipasang di situ mereka jawab “ Dua-dua parti sudah sokong tidak payah pindah”. Kuil semakin aktif dan gangguan bising hampir setiap hari. Semasa perjumpaan penduduk dengan YB Adun yang baru pada bulan April 2008, maklumbalas penduduk yang hadir pada malam itu ramai yang tidak berpuashati dengan jawapan YB Adun yang tidak memihak kepada penduduk Islam. Jadi ada yang pulang awal kerana kecewa dengan jawapan beliau.

12. Pada bulan Jun 2008 ubahsuai telah dibuat di jalan masuk kekuil itu. Dulu papan digunakan telah diganti simen. Apabila ada ubahsuai baru pasti ada keramaian akan diadakan. Pada 21.7.08 penduduk melihat beberapa buah lori membawa masuk barang-barang ke kawasan kuil. Seorang penduduk berdekatan dengan berani telah menahan sebuah lori dan bertanya untuk apa barang-barang itu. Pemuda di kuil selamba menjawab, “Kerajaan baru sudah lulus besarkan kuil”. Aduan telah dibuat kepada YB Adun Batu 3 bertanyakan masalah ini. Beliau menafikan ada arahan saperti itu. Beliau telah menghantar pegawainya ke situ untuk menyiasat. Barang-barang telah dibawa masuk semula ke dalam lori dan dibawa keluar. Apa akan jadi jika tiada penduduk yang sedar? Kuil tentu sudah semakin besar ketika itu. Penguatkuasa MBSA pun sudah lama tiada buat rondaan saperti dahulu. Jadi mereka bebas buat apa sahaja di situ kerana tidak didakwa.

13. Gangguan bising yang kami hadapi sepanjang bulan Julai 2008 adalah yang terburuk sekali selama kami tinggal dikawasan ini. Bayangkan perasaan penduduk berhampiran apabila seawal jam 8 pagi mereka sudah bergendang bising. Penduduk ramai-ramai terpaksa mohon bantuan YB Adun dan Polis. Mereka hanya berhenti bergendang pada jam 11 pagi. Hampir setiap pagi dan malam lagu-lagu dan muzik Hindu dipasang kuat seperti penduduk di sini pekak belaka. Masa bising biasanya di waktu pagi antara jam 8 hingga 10 pagi, dan sabelah petang hingga ke malam. Waktu azan kedengaran dari masjid mereka buat bising di kuil. Mereka telah mengganggu kehidupan kami untuk beribadat. Mereka mengganggu anak-anak yang hendak belajar. Mereka mengganggu kami hendak berehat. Walaupun semua tingkap ditutup rapat tetapi bunyi bising terus menembusi telinga kami. Setiap hari gangguan bising akan mengganggu penduduk di Jalan 19/24 dan Jalan 19/28. Tetapi apabila mereka adakan keramaian gangguan bising akan kedengaran hingga ke Jalan 19/ 27, Jalan 19/25, Jalan 19/29, dan Jalan 19/30. Keramaian biasanya diadakan dari siang hingga ke malam. Keramaian pada 25hb. Julai 2008 telah menimbulkan perasaan yang sangat menyinggung penduduk berdekatan. Pada malam itu, mereka adakan perarakan pada jam 1 pagi di Jalan 19/28 dan Jalan 19/24. Penduduk mohon bantuan YB Adun dan Polis. Apabila peronda polis sampai mereka pun berhenti bising. Apabila polis pergi kedengaran jeritan” Apa komplen-komplen-Melayu bodoh”. Sebuah keluarga berdekatan yang menegur buat bising di tengah malam telah diugut “kalau ganggu kuil semua penduduk akan dikacau”. Mereka terus berada di kuil hingga jam 3 pagi. Keluarga yang telah diugut itu telah membuat laporan polis. Sabelum keramaian diadakan, sudah beberapa malam mereka bising semasa membuat kerja-kerja menggantung bendera dan memasang lampu-lampu di situ hingga mengganggu waktu tidur kami. Keramaian bergendang bising mereka buat lagi hingga 27.7.2008. Perjumpaan dengan YB Khalid Samad dengan penduduk telah diadakan pada 9.8.2008. Walaupun YB Khalid meminta tempoh setahun untuk selesaikan tetapi ada penduduk yang telah menyuarakan mahu lebih cepat lagi. Banyak aduan disampaikan pada YB Khalid Samad.

14. Pada bulan Oktober 2008 penduduk Islam manyambut Hari Raya Puasa. Pada tahun-tahun yang lepas tidak ada gangguan pada hari raya tetapi pada tahun ini mereka telah mengadakan upacara yang mengadap ke Jalan 19/24. Sejak malam hari raya 30hb. September 2008 gangguan bising berlaku setiap malam. Kami mahu mendengar takbir hari raya tetapi mereka hidangkan lagu-lagu Hindu kepada kami. Gangguan bising juga telah berlaku pada 7.10.2008 berlaku pada jam 5 pagi. Penduduk yang pergi ke masjid untuk Solat Subuh melihat apa yang berlaku di situ. Semasa azan Subuh kedengaran dari masjid mereka buat bising disitu hingga 7 pagi.
15. Pada bulan December 2008 ubahsuai baru telah dibuat lagi. Keramaian pasti akan didakan lagi. Pada 14.12.2008 bilik-bilik kuil telah dibesarkan lagi. Pada 20.12.2008 kelihatan ada lori menghantar pasir dan simen. Ubahsuai baru dibuat lagi pada 21.12.2008 Mereka buat kerja di situ semasa ada majlis perkahwinan diadakan di kawasan berdekatan. Mereka kelihatan sudah tidak takut lagi untuk buat ubahsuai. Mereka telah mengadakan lagi keramaian bergendang pada 28.12.2008. Walaupun aduan telah banyak dibuat tidak ada pun perubahan untuk mengurangkan gangguan bising.

16. Keputusan telah kami buat dan dipersetujui ramai penduduk ialah cuba mengadu kepada NGO. Kami mengadu kepada pihak berkuasa hingga 20 tahun masalah kami tidak selesai tetapi apabila mengadu kepada NGO dalam masa dua minggu sahaja mereka telah memberikan jawapan. Jadi, salahkah kami mohon bantuan NGO? Kalau pengunjung kuil datang dari kawasan luar boleh ganggu kawasan kami, salahkah kami mohon bantuan dari luar yang seagama dengan kami? Kalau dulu YB kata beri tempoh setahun bermakna kami kena menunggu hingga Ogos 2009. Kami sudah tidak sanggup lagi menghadapi masalah gangguan bising setiap hari. Kami sudah tidak sanggup lagi menghadapi pencemaran bunyi dan pencemaran pemandangan di kawasan kami. Selain itu masalah kumpulan yang suka berlonggok di hujung Jalan 19/28 juga sering menakutkan kami kerana mereka sering mabuk. Botol-botol arak boleh kelihatan berhampiran kawasan itu. Dibelakang dapur sebuah rumah diconteng dengan nombor 303.

17. Kalau YB menyalahkan kerajaan BN kami juga boleh menyalahkan kerajaan baru kerana membiarkan kami terus diganggu di sini sejak bulan Mac hingga Disember 2008. Hakikatnya, keadaan yang kami hadapi di sini jauh lebih teruk daripada masa dahulu. Namun begitu, ramai penduduk hargai bantuan yang diterima daripada YB Puan Rodziah semasa gangguan kuil bising ramai mengadu kepadanya. Diharap dengan penjelasan ini YB tidak lagi buruk sangka dengan tindakan yang kami ambil. Mereka datang kerana kami yang mohon bantuan mereka. Apabila NGO datang ke kawasan ini perhatian besar-besaran telah berlaku. Ramai yang turun padang meninjau kekawasan kami.

Sekian sahaja daripada kami. Diharap penjelasan ini akan menyedarkan semua pihak betapa susahnya kehidupan kami di sini menghadapi tekanan kerana gangguan berterusan dari kuil itu. Masalah yang kami hadapi selama ini tidak boleh selesai dengan menunggu sahaja. Sedangkan di pihak mereka langsung tidak makan saman pun. Kami mohon maaf jika kami menyinggung mana-mana pihak. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin membantu penduduk selama ini. Kami amat berharap permohonan penduduk pindahkan kuil itu akan ditunaikan oleh pihak PKNS.

IKHLAS DARIPADA KAMI,
PENDUDUK ISLAM SEKSYEN 19 SHAH ALAM.




Thursday, 16 December 2010