Thursday, 12 January 2012

Jawapan penduduk berkaitan risalah "Memahami isu pemindahan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23" - diterbitkan oleh Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor


Ulasan Penduduk Seksyen 19 Shah Alam mengenai risalah isu pemindahan kuil:
Kenapa Bahagian Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor tidak siasat kenapa penduduk Seksyen 19 terpaksa minta bantuan daripada pihak luar? Penduduk terpaksa menjawab persoalan ini kerana penulis artikel berkaitan kuil diSeksyen 19 dan penerbit risalah tidak berlaku adil kepada NGO dan penduduk Islam.

1. Tanah tapak kuil itu sudah jadi Tanah Milik PKNS jadi tidak perlu lagi penjelasan panjang lebar adanya kuil itu sebelum kawasan perumahan Seksyen 19 dibina. Tapak lain sudah disediakan oleh pihak PKNS untuk pindahkan kuil itu. Pada tahun 2003 kuil diarahkan pindah ke Seksyen 18 tetapi mereka enggan pindah atas pelbagai alasan. Pada tahun 2005 penduduk kawasan setinggan telah dipindahkan tetapi kuil masih ditapak itu juga. Kebanyakan pengunjung yang meramaikan dan mengaktifkan kuil selepas setinggan dipindahkan adalah penduduk yang datang dari kawasan lain.

2. Kenapa kuil yang dahulunya kecil dan usang dikawasan semak dan terbiar itu perlu dibesarkan? Kenapa bekalan elektrik dan air dimasukkan kekuil itu?. Mereka sudah tahu kawasan itu diperuntukkan tapak rumah teres dua tingkat sebanyak 16 unit, jadi kenapa hendak bertahan ditapak itu?. Pihak kuil memang berusaha agar kuil dikekalkan terus ditapak itu. Maklumat yang diterima penduduk, selain tapak di Seksyen 18 beberapa lokasi lain sudah ditawarkan kepada mereka untuk pindahkan kuil itu, tetapi telah ditolak. Pada tahun 2006 semasa penduduk buat perjumpaan dengan bekas Adun Batu Tiga, beliau beritahu hendak pindahkan setinggan lebih mudah daripada pindahkan kuil. Pelbagai tuntutan mereka buat jika hendak pindahkan kuil dari tapak itu. Pada 29/12/2007 pihak MBSA maklumkan kuil itu akan dipindahkan ke Seksyen 22.

3. Selepas PR berkuasa Mac 2008 pemindahan kuil ke Seksyen 22 dibatalkan dengan alasan tapak itu jauh kedalam. Penduduk terpaksa membuat aduan kepada pelbagai pihak mohon bantuan mengatasi masalah gangguan kuil yang semakin menjadi-jadi. Pihak kuil tidak ambil peduli sensitiviti masyarakat sekitar yang majoritinya penduduk Islam. Gangguan lagu-lagu Hindu dipasang kuat hampir setiap pagi dan malam, majlis-majlis keagamaan yang diadakan penduduk Islam sering diganggu bising lagu-lagu Hindu. Bila kuil mengadakan keramaian keadaan bertambah bising. Keramaian bergendang biasanya diadakan selama beberapa hari. Pada hari keramaian mereka mula bergendang ketika azan Maghrib kedengaran dari masjid, gangguan bising bergendang pelbagai bunyi memekakkan telinga berjam-jam lamanya waktu pagi dan malam, kawasan penduduk menjadi sesak dan bising sepanjang hari diadakan keramaian. Banyak masalah sampingan yang menjadikan keadaan semakin gawat. Perarakan bergendang membawa tiga patung besar kuda terbang melalui hadapan rumah penduduk Islam pada malam 26/07/2008 jam 1 pagi paling menyinggung penduduk sekitar. Suasana pada malam itu sangat bising dan kecoh. Penduduk yang menegur mereka buat bising ditengah malam diugut bunuh. Semasa polis peronda sampai mereka berhenti bergendang, tetapi selepas pihak polis beredar mereka jerit "Apa komplen-komplen Melayu bodoh". Pada bulan November dan Disember setiap tahun kumpulan pemuda Hindu memakai pakaian hitam bergendang sambil menyanyi dan bertepuk tangan seperti kumpulan dikir barat mengganggu ketenteraman awam hampir setiap malam. Kenapa mereka tidak ambil peduli sensitiviti penduduk yang tinggal berhampiran kuil itu?. Bagaimana perasaan mereka jika keadaan sama berlaku di kawasan mereka sendiri?. Sampai bila penduduk sekitar kuil itu boleh bersabar?
              Info gambar: Keramaian kuil mengganggu ketenteraman awam
              
4. Penduduk mohon bantuan pertubuhan NGO Islam kerana gangguan bising sejak Julai 2008 hingga Disember 2008 sudah keterlaluan. Penduduk buat keputusan mengadu kepada NGO kerana tidak ada tindakan berkesan daripada pihak berkuasa untuk mengatasi masalah penduduk. Sebahagian masalah yang mengganggu penduduk bertahun-tahun lamanya hanya berkurangan selepas campur tangan NGO Islam pada Januari 2009. Logikkah NGO dituduh membuat provokasi dan menjadi DALANG bantahan penduduk Seksyen 19 mendesak kuil itu segera dipindahkan?. Salahkah penduduk membantah jika pengunjung kuil sering mengganggu ketenteraman awam? Adakah penduduk perlu menunggu hingga keadaan sudah menjadi kritikal baru hendak ambil tindakan? Kenapa pemimpin Pakatan Rakyat tidak memahami masalah penduduk yang menghadapi tekanan emosi akibat gangguan keterlaluan aktiviti kuil yang hampir dengan kediaman penduduk Islam? Menyalahkan Pertubuhan NGO yang datang membantu penduduk,  sama seperti menyalahkan penduduk  yang minta bantuan daripada mereka.

5. Pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat amat sensitif apabila penduduk Islam Seksyen 23 buat demonstrasi di hadapan SUK kerana membantah kuil yang hendak dipindahkan berhampiran kawasan kediaman mereka. Banyak laporan polis telah dibuat kerana isu kepala lembu dianggap sensitif dan mengguris perasaan penganut Hindu. Kita tidak hairan jika masyarakat India menyokong kaum mereka. Apa yang memeranjatkan ialah sokongan segelintir pemimpin Islam kepada pihak kuil. Kenapa penduduk Islam Seksyen 19 tidak mendapat sokongan padu daripada masyarakat Islam? Kenapa pihak luar lebih prihatin membantu penduduk Islam Seksyen 19 yang diganggu bertahun-tahun lamanya oleh pengunjung kuil?. Pihak NGO segera datang membantu selepas menerima aduan penduduk. Tetapi mereka telah dituduh membuat provokasi dan menimbulkan suasana yang tegang di Seksyen 19. Gambar dibawah dikatakan tindakan provokasi NGO kepada pihak kuil. Kenapa pihak kuil membuat aduan kumpulan NGO memakai T Shirt unit jihad dimasukkan dalam laporan diatas?. Adilkah jika menyalahkan pihak Islam sahaja? Jika hendak menegakkan KEADILAN untuk semua, aduan kedua-dua belah pihak wajar didedahkan kepada umum.
Penulis risalah menyalahkan NGO buat provokasi kerana pakai Tshirt Jihad. Gambar diambil ketika kumpulan NGO mendirikan tapak gelanggang bersebelahan kuil untuk mengelakkan lebih banyak tanah milik PKNS diceroboh oleh pihak kuil.  

6. Adakah NGO Islam lebih merbahaya daripada pengunjung kuil? Semasa penduduk Islam mengadakan mesyuarat pertama kali dengan pihak NGO Islam pada 04/01/2009 di Jalan Ladung ramai penguat kuasa MBSA dihantar meronda kawasan penduduk selepas pihak kuil membuat aduan kedatangan kumpulan NGO keSeksyen 19. Penguat kuasa menunggu hingga selesai mesyuarat pada jam 2 petang. Kenapa begitu cepat tindakan diambil selepas menerima aduan dari pihak kuil? Setiap hari bermula 05/01/2009 hingga 09/01/2009 penguat kuasa MBSA membuat rondaan yang kerap setiap hari dikawasan penduduk. Pada 10/01/2009 semasa majlis perasmian gelanggang NGO diadakan sejak pagi lagi ramai penguat kuasa MBSA dan polis berkawal di kawasan perumahan sekitar kuil sehingga menakutkan penduduk untuk hadir dalam majlis yang diadakan oleh pertubuhan NGO. Kenapa perkara yang sama tidak berlaku apabila pihak kuil mengadakan upacara dan keramaian di kuil itu? Kenapa tidak ada rondaan yang kerap walaupun ada pengunjung kuil yang minum dan mabuk?. Penduduk terpaksa merayu bantuan daripada Adun, Penguat kuasa MBSA dan Polis apabila gangguan bising dari kuil sudah keterlaluan mengganggu ketenteraman awam hingga tengah malam. Namun begitu pelbagai masalah terus berulang lagi setiap kali pihak kuil mengadakan upacara dan keramaian dikuil itu.

7. Siapakah yang menjadi DALANG perarakan bergendang pada 26/07/2008 waktu jam 1 pagi?. Siapakah yang berani membuat ugutan kepada penduduk? Pelbagai aduan sudah dibuat kepada wakil-wakil rakyat dan pihak kerajaan negeri tetapi tidak ada perubahan malah semakin kronik. Apabila penduduk mohon bantuan dari pihak luar mereka pula dituduh membuat provokasi dan menjadi dalang bantahan penduduk Islam Seksyen 19. Laporan diatas bersikap double standard memihak kepada pengunjung kuil yang membuat provokasi kepada penduduk Islam. Kenapa pemindahan kuil ke Seksyen 22 dibatalkan oleh pemimpin PR? Masalah penduduk Seksyen 19 tidak akan menjadi serius jika pihak berkuasa peka dan mengambil tindakan lebih tegas untuk mengatasi isu ini.
   Salah satu ugutan kepada penduduk Islam Seksyen 19

8. Kenapa hanya penduduk Islam dan pertubuhan NGO Islam sahaja yang dipersalahkan dalam isu pemindahan kuil keSeksyen 23? Siapakah yang sebenarnya yang telah menegangkan suasana di Seksyen 19? Kenapa tekanan emosi dan pelbagai risiko yang dihadapi oleh penduduk Islam akibat gangguan keterlaluan oleh pengunjung kuil tidak disebut dalam laporan diatas?. Gangguan mereka sudah banyak yang menyinggung dan mengguris hati penduduk tempatan. Kenapa mesti dikaitkan bantahan penduduk yang dibantu pertubuhan NGO Islam dengan pihak UMNO?. Logikkah NGO yang membantu penduduk Islam Seksyen 19 dituduh ada agenda politik?. Sikap pemimpin Pakatan Rakyat seringkali menyalahkan pihak lain telah menegangkan suasana yang dihadapi oleh penduduk Islam di Seksyen 19 dan di Seksyen 23. Melalui sidang media yang disiarkan oleh TV Selangor pemimpin BN dituduh tidak mengambil sebarang tindakan memindahkan kuil dan UMNO dituduh menegangkan suasana di Seksyen 19. Kenapa ada sikap buruk sangka sesama Islam? Kenapa pemimpin PR tidak peka sensitiviti penduduk sekitar kuil di Seksyen 19?.

TV Selangor - Sidang Media Pemindahan Kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23:

Wednesday, 11 January 2012

Risalah Kerajaan Negeri Selangor : Memahami Isu Pemindahan Kuil Sri Mariamman di Seksyen 19 ke Seksyen 23, Shah Alam


September 30, 2009

Apakah latar belakang sejarah pembangunan Seksyen 19? Mengapakah sebuah kuil Hindu dibina di kawasan itu?



Pada asalnya, kawasan Seksyen 19 adalah kawasan ladang getah. Pada ketika itu ladang tersebut adalah Estet Sungai Renggam. Pada tahun 1984, Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diberi kebenaran untuk membangunkan kawasan ini sebagai kawasan perumahan. Ketika perancangan pembangunan ini dibuat, Kuil Sri Mariamman yang kini beralamat di Jalan Ladung 19/28 telah pun wujud.

Dalam pelan perancangannya di Seksyen 19, PKNS telah merancang untuk memindahkan kuil tersebut ke satu lokasi yang lain. Atas sebab itu, semasa membina dan menjual rumah di Seksyen 19, PKNS tidak menunjukkan kuil tersebut di dalam pelan mereka. Sebaliknya yang ditunjukkan dalam pelan mereka adalah rumah teres dua tingkat.

Sehubungan itu, pembinaan rumah-rumah telah dilakukan tanpa mengambil kira kewujudan kuil tersebut. Akibat daripada kegagalan pihak PKNS dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah perpindahan, kedudukan Kuil Sri Mariamman berada di tengah-tengah kawasan perumahan yang majoriti penduduk beragama Islam.

Mengapa lokasi kuil Seksyen 19 ini harus dipindahkan?


Disebabkan lokasi kuil yang tidak kondusif, penduduk kawasan dan para pengunjung kuil tersebut mengalami pelbagai kesesakan. Ini telah mendesak penduduk membuat permintaan supaya kuil dipindahkan ke tempat yang lebih sesuai. Penduduk Seksyen 19 terpaksa bersabar selama 26 tahun menunggu tindakan kerajaan Negeri Barisan Nasional untuk menyelesaikan masalah mereka. Pada mulanya Kerajaan BN ketika itu mencadangkan Seksyen 18 dimana satu tapak Kompleks Rumah Ibadat Bukan Islam telah diluluskan secara berkelompok di Seksyen itu, namun Jawatankuasa Kuil terpaksa menolak cadangan ini. Ini adalah kerana mengikut kepercayaan penganut agama Hindu, Kuil-kuil tidak boleh dibina terlalu dekat di antara satu sama lain.Setelah itu, Seksyen 22 dicadangkan sebagai lokasi pemindahan yang baru, namun sekali lagi Jawatankuasa Kuil terpaksa menolak kerana lokasi di Seksyen 22 itu terletak di luar lingkungan komuniti dan kemudahan infrastruktur yang tidak sempurna.



Setelah Kerajaan Pakatan Rakyat menerajui kerajaan negeri Selangor, persetujuan telah tercapai di antara Jawatankuasa Kuil, PKNS, MBSA serta kerajaan negeri untuk memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23. Pada mulanya, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengesyorkan lokasi baru tapak kuil ini dipindahkan ke Jalan Saham 23/3, namun kerana tapak ini agak berdekatan dengan kawasan rekreasi kanak-kanak, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengambil langkah seterusnya dengan menganjakkan lokasi pemindahan ke Jalan 23/6 yang terletak lebih 200 meter daripada kawasan perumahan Seksyen 23, tapak ini sesuai menampung keperluan kuil bagi penduduk Seksyen 19, 20 dan 23 dan kedudukan kuil ini akan disesuaikan dengan pembangunan.


Mengapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil tindakan segera untuk mengatasi masalah pemindahan Kuil ini? Dan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menangani permasalahan ini?


Akibat kegagalan Kerajan BN menangani permasalahan ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terpaksa bertindak segera supaya masalah ini tidak berpanjangan dan mengeruhkan lagi keadaan. Antara inisiatif yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini adalah menetapkan stu Garis Panduan berhubung rumah ibadat bukan Islam.


Sehubungan itu, Garis Panduan ini telah mendapat sokongan penganut bukan beragama Islam. Mereka berpandangan, Garis Panduan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor ini merupakan satu pendekatan pro-aktif dan jelas yang dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan dengan rumah-rumah ibadat di negeri Selangor yang sebelum ini agak kabur dan mengelirukan.

Garis Panduan Rumah Ibadat Bukan Islam
Antara Garis Panduan berhubung pembinaan rumah ibadat bukan Islam di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor;


Pembinaan bangunan baru perlu mendapat kelulusan EXCO. Sebarang aktiviti perobohan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada EXCO terlebih dahulu. Bangunan Keagamaan Bukan Islam sedia ada sebelum 8 Mac 2008 yang telah dikenalpasti untuk dikekalkan tetapi tidak terletak di lokasi yang sesuai hendaklah dipindahkan.


Mengapakah Seksyen 23 dipilih untuk dijadikan tapak baru Kuil ini?


Tapak ini sesuai untuk menampung keperluan kuil bagi penduduk seksyen 19, 20 dan 23. Lokasi tidak berdekatan dengan kawasan perumahan sedia ada jika dibandingkan dengan kawasan perumahan di seksyen lain. Kedudukan tapak kuil ini akan disesuaikan dengan pembangunan sekitar. Walaupun Seksyen 23 merupakan kawasan perumahan, namun lokasi pemindahan kuil ini agak jauh daripada kawasan perumahan tersebut. Jarak antara lokasi pemindahan kuil ini dan kawasan perumahan di Seksyen 23 ini adalah lebih daripada 200 meter.Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor juga telah mengambil inisiatif untuk membina sebatang jalan untuk memudahkan para penganut agama Hindu menuju ke kuil tersebut. Langkah ini diambil kerana lokasi tersebut akan dibina adalah di kawasan industri yang agak jauh daripada jalan utama Seksyen 23.

Siapakah dalang disebalik bantahan keterlaluan yang diadakan baru-baru ini?


Demonstrasi membantah pemindahan Kuil tersebut dari Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang diadakan baru-baru ini melibatkan kurang daripada 50 orang yang tidak berpuas hati dengan cadangan Kerajan Pakatan Rakyat Selangor untuk memindahkan Kuil tersebut ke Seksyen 23.


Namun, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor percaya, keadaan ini berlaku apabila Jawatankuasa Bertindak tersebut telah diberikan maklumat yang tidak tepat oleh sesetengah pihak mengenai proses pemindahan itu. Bantahan berlaku ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pejabat Parlimen Shah Alam telah bersedia dan bersetuju untuk berdialog dengan para penduduk Seksyen 23.


Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor percaya pihak daripada organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu PEWARIS mempunyai agenda politik mereka tersendiri. Kemuncak kepada bantahan penduduk ialah apabila pihak PEWARIS ini telah meletakkan lambang berkaitan agama (kepala lembu) yang dianggap sensitif bagi penganut agama Hindu di hadapan pintu masuk bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor.


Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor juga percaya, PEWARIS ketika bantahan itu, telah menghasut para penduduk untuk mengeluarkan kata-kat bersifat perkauman. Bantahan yang didalangi mereka ini dianggap keterlaluan apabila bantahan yang sedemikian dilakukan di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Secara tidak langsung, PEWARIS bukan sahaja tidak menjaga sesnsitiviti agama lain malah telah mencemarkan bulan Ramadhan dengan tindakan keterlaluan mereka itu.


Malah pihak ini jugalah yang mendalangi bantahan para penduduk Seksyen 19 supaya kuil tersebut dipindahkan ke lokasi lain sesegera mungkin. Nyata, PEWARIS telah memainkan peranan sebagai agen provokasi untuk memulakan pertelingkahan kaum dikalangan masyarakat. Jelas, sebagai sebuah kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak akan membenarkan api-api perkauman dimainkan oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik mereka tersendiri.


Selain itu, terdapat juga ugutan ke atas Jawatankuasa Kuil dan para penganut agama Hindu dengan mengganggu upacara sembahyang mereka, menceroboh kuil dan memakai t-shirt "Unit Jihad". Nyata, ini merupakan provokasi perkauman yang didalangi pihak-pihak yang mempunyai agenda politik dan seterusnya mencemar maksud jihad dalam agama Islam.


Pihak Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor memberi kepercayaan sepenuhnya kepada para penduduk Seksyen 23 bahawa mereka tidak akan bertindak membatasi tatasusila dan toleransi kaum masyarakat majmuk. Bantahan tersebut tercemar apabila PEWARIS melanggar adab dan tatasusila masyarakat Selangor khususnya dan Malaysia amnya.

Apakah pendirian Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam perkara ini? Apakah langkah-langkah seterusnya yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyelesaikan permasalahan ini?


Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengambil langkah-langkah pro-aktif untuk menyelesaikan isu pemindahan kuil ini.

Sebelum keputusan pemindahan kuil dipersetujui, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bertanggungjawab memastikan syarat pemindahan kuil dipenuhi dari segi undang-undang dan dipersetujui Jawatankuasa Kuil dan seterusnya notis kepada penduduk setempat untuk hadir pendengaran awam (public hearing) dikeluarkan. Walau bagaimanapun, mengikut Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor yang diwujudkan oleh Kerajaan BN dahulu, sekiranya tapak kuil yang dicadangkan berada dalam lingkungan jarak 50 meter dari kawasan perumahan atau pemilik kilang, pendengaran awam tidak perlu diadakan.

Namun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan sesi dialog antara penduduk dan juga Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, serta PKNS dan MBSA perlu diadakan.

Antara sesi dialog yang telah / akan diadakan adalah:


Perjumpaan dengan Ahli Majlis pada 2 September 2009
Perjumpaan dengan penduduk-penduduk Seksyen 23 pada 5 September 2009
Perjumpaan dengan kepimpinan tempatan dan Orang-orang Besar Daerah
Perjumpaan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO)

Mengapa Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan bahawa penyelesaian tersebut sebagai langkah terbaik untuk menangani isu ini?


Masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan mempunyai latar belakang budaya dan cara hidup yang berbeza. Oleh itu kemajuan dan kemodenan menuntut ilmu dan teknologi kini sepatutnya membawa kepada sikap toleransi dan tolak ansur yang lebih tinggi di kalangan semua lapisan masyarakat di Malaysia.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengambil langkah-langkah pro-aktif dan efisyen untuk memastikan rakyat negeri Selangor khususnya dan Malaysia secara keseluruhannya hidup dalam keadaan harmoni. Sehubungan itu, dalam membuat keputusan tentang isu-isu berkaitan agama dan budaya masyarakat yang berbilang kaum, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan mengambil kira semua aspek isu-isu tersebut daripada setiap sudut dan pandangan.

Dalam isu pemindahan kuil ini, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan rakyat Selangor haruslah mengambil sikap yang lebih terbuka, bertolak ansur dan rasional dalam menangani isu ini. Setelah mengambil kira lokasi kuil yang berada di tengah-tengah kawasan perumahan Seksyen 19 iaitu satu permasalahan yang agak lama, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berpandangan, Kuil Sri Mariamman itu hendaklah dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai.

Umum telah maklum, Seksyen 23 juga merupakan kawasan perumahan, namun, Kerajaan Pakatan rakyat Selangor telah mengambil inisiatif untuk memindahkan Kuil itu ke tapak lokasi yang lebih sesuai iaitu dengan jarak lebih daripada 200 meter daripada kawasan perumahan.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor percaya bahawa masyarakat Selangor merupakan satu rumpun masyarakat yang boleh menangani permasalahn dan isu-isu masyarakat dengan lebih matang dan rasional. Selain itu, kerjasama dan hormat-menghormati antara masyarakat berbilang kaum dan juga Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor merupakan tunggak kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi agama, budaya, adat resam dan pemahaman ideologi.

Oleh itu, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor berharap isu pemindahan Kuil Sri Mariamman ini dapatlah diselesai dan ditangani dengan cara muafakat dan rasional oleh semua pihak terlibat.

Bilakah penyelesaian dan persetujuan ke atas perkara ini dapat dilakukan?

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan membuat satu keputusan muktamad mengenai isu ini setelah mengambil kira pandangan pihak-pihak yang terlibat melalui sesi-sesi dialog yang telah dan akan diadakan.

Kebebasan bersuara dan memberikan pandangan adalah satu perkara yang perlu diizinkan. Namun, apabila kita lupa kepada adab dan tatasusila yang sewajibnya, ia akan memalukan diri sendiri, menjatuhkan imej agama dan mencalar maruah umat. Garis panduan mengenai hal ini telahpun digariskan oleh Allah swt di dalam Al Qur'an yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (Al-An'am:108)


MENOLAK POLITIK PERKAUMAN
MENEGAKKAN KEADILAN UNTUK SEMUA